“Penat hidup macam janda, suami pula tak kerja hanya pandai melepak sampai 3 pagi”

Oleh WAN SITI AMINAH

Isteri manakah tidak tawar hati dengan sikap suami yang enggan menunaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga meskipun sudah dikurniakan zuriat.

Menerima ujian begitu berat semenjak berada di fasa awal perkahwinan, wanita dikenali sebagai Sarah itu menyangka kejadian yang berlaku sebelum ini hanyalah dugaan dari Tuhan.

Namun sangkaan Sarah meselet apabila suaminya malah mengkhianati ikatan suci mereka dengan berlaku curang dengan rakan sekerjanya sendiri meskipun baru menikah.

Berikut perkongsian Sarah yang sekali lagi diduga apabila suaminya itu mengambil keputusan untuk berhenti kerja di saat dirinya baru disahkan mengandung anak pertama.

“Hai, nama aku Sarah. Ini kisah aku, seorang wanita yang berusia 20-an. Aku sudah berkahwin, baru sahaja melahirkan seorang cahaya mata. Masih lagi dalam pantang. Aku merupakan wanita bekerjaya. Pada mulanya, aku rasa mungkin ini pembawakan selepas bersalin. Tetapi kalau difikirkan, masalah sudah ada sebelum anak lahir lagi.

“Aku berkahwin pada tahun 2022. Baru lagi, orang cakap masih berada dalam fasa pengantin baharu. Tetapi tidak bagi aku. Sudah bermacam dugaan berlaku kepada rumah tangga ini. Suami aku umurnya sebaya, masih 20-an. Pada awal perkahwinan kami, dia bekerja di sektor perkilangan. Gaji juga boleh dikatakan agak lumayan.

“Aku mula tawar hati apabila fasa perkahwinan nak masuk setahun. Waktu itu, kami masih berdua. Suami banyak lebihkan kawan dari isteri. Lepak sampai pagi. Adakala sampai bawak ke rumah. Hujung minggu, kami memang tiada masa berdua. Dating? Jauh sekali. Kadangkala, aku nak juga berdua suami isteri macam zaman bercinta.

“Tetapi mesti suami akan ajak kawan sekali. Aku sudah bercakap dengan dia. Namun dia akan berubah sekejap sahaja. Nanti dia buat balik. Kemudian, aku diuji sekali lagi dengan suami curang. Kantoi bergambar dengan seorang perempuan kilang dan dia simpan dalam fail rahsia. Allah mungkin gerakkan hati aku untuk periksa telefon dia.

“Aku ternampak satu fail pelik. Kalau tekan, keluar ruangan kata laluan. Aku cubalah godek-godek, akhirnya terbuka juga. Ternampak sekeping gambar mesra suami dan rakan sekerjanya. Memang berbeza wajah gembiranya dia ketika berswafoto dengan perempuan itu berbanding aku. Kecewanya hati. Aku tanyalah hal foto itu kepadanya.

“Suami cakap, gambar itu sebenarnya mahu dihantar ke kenalan. Tetapi dia tertekan simpan ke fail privasi. Aku iyakan sahaja kerana malaslah bergaduh. Masuk ke tahun kedua perkahwinan, aku diuji lagi. Suami berhenti kerja. Alasannya nak cari kerja lain. Persekitaran kerja tak seronok katanya. Kebetulan aku baru tahu diri tengah hamil.

“Jadi aku fikir mungkin ini dugaan mengandung. Suami cakap nak cari pekerjaan lain. Tetapi sampai sekarang dia masih tidak bekerja, anak pun sudah keluar. Aku nampak usaha dia nak cari kerja, namun mungkin dugaan untuk keluarga kecil kami. Dia juga ada buat kerja untuk separuh masa, tetapi hasil yang dapat tidak terlalu banyak.

“Hanya cukup untuk seminggu dua makan. Kalau mengidam, semua aku beli sendiri. Kalau ajak teman sekali pun, ada sahaja alasannya. Tetapi kalau kawan ajak lepak, bukan main laju. Aku ingatkan selepas berbadan dua, dia berhentilah melepak. Sama sahaja rupanya. Sampai satu tahap, aku jalan seorang diri dengan perut memboyot.

“Terpaksa gembirakan diri sendiri. Aku pernah kongsi perasaan ketika ada masalah. Tetapi dimarahnya pula. Kata suami, aku terlebih fikir dan terlalu layankan perasaan. Sedangkan aku bukan nak penyelesaian, cuma mahu orang mendengar. Sejak dari itu, aku tidak pernah meluah hanya memendam. Tahun kedua pula, sudah ada anak.

“Namun segala pembelanjaan, aku yang tanggung. Bukan nak berkira sangat. Tetapi sekurangnya kalau suami tak mampu sumbang kewangan, dia boleh bantu curahkan tenaga dan perhatiannya kepada aku. Ini masa aku pantang, dia boleh lepak dengan kawan sampai pukul 1 ke 2 pagi. Aku juga yang berjaga setiap hari menjaga anak.

“Bayi pula setiap dua jam bangun, nak susu. Aku harapkan perhatian dari suami. Itu pun cukuplah. Tetapi jauh sekali. Aku pernah cuba bincang dengan dia. Tetapi boleh pula dia cakap ‘lupa sudah berkahwin’. Itu yang terbawa perangai bujang. Aku sudah berikan banyak masa untuk dia biasakan diri dengan ‘status sebagai suami’ itu.

“Bukan setakat dua ke tiga bulan. Malah sudah dua tahun kami ini berkahwin. Apalah dugaan aku. Serius aku tawar hati. Hidup seperti janda. Suami ada, tetapi tetap juga sunyi. Mungkin Allah hadirkan cahaya mata untuk menemani aku. Adakah kami perlu berpisah, barulah aku dihargai? Aku sudah berkorban macam-macam selama ini.

“Tetapi kawan jugalah yang suami hargai. Aku umpama wanita yang tak lagi wujud di sisinya. Sekarang aku di fasa tawar hati. Sudah seminggu kami tinggal di satu rumah tetapi tidak bertegur. Suami pergi kerja separuh masanya itu juga aku tidak bertanya. Entahlah. Doakan aku kuat bersama anak untuk menempuh dugaan akan datang.

“Mungkin apabila aku sudah tiada, barulah suami mahu menghargai. Terima kasihlah kerana mendengar luahan hati aku ini. Yang ikhlas, Sarah (Bukan nama sebenar).” Kongsinya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di sebuah forum popular di atas talian.

Baca juga: “Suami beria cari jodoh untuk adik ipar, tapi cara dia macam nak jadikan madu aku”