Mydin buat hal, jual burger ‘cukup sifat’ dengan harga 67 sen – “Isi kalah stadium punya!”

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman dikongsi seorang lelaki memaparkan dirinya ketika menyantap burger yang dijual di sebuah pasar raya telah berjaya mencuri perhatian ramai, baru-baru ini.

Mana tidaknya, burger yang dipaparkan dalam rakaman itu dibeli oleh lelaki terbabit di rangkaian pasar raya terkenal tempatan iaitu Mydin dengan harga serendah RM0.67.

Walaupun dipasarkan dengan harga yang sangat murah, burger itu tetap dilengkapi dengan roti, ayam, mayonis, sos dan juga dua jenis sayuran iaitu kubis dan lobak merah.

Rakaman yang dipercayai dimuat naik menerusi platform TikTok itu dikongsi semula oleh pengguna X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) menerusi satu hantaran tular.

”Burger 67 sen dekat Mydin. Menangis pemilik perniagaan burger stadium kalau tengok ini,” tulis pelayar X terbabit menerusi satu ciapan dikongsikan bersama rakaman itu.

Perkongsian itu ternyata mengejutkan pengguna media sosial yang tidak menyangka bahawa makanan segera tersebut masih boleh didapati dengan harga sedemikian pada masa kini.

Rata-ratanya menyambut baik tindakan rangkaian pasar raya tersebut malah disifatkan sebagai inisiatif yang baik terutamanya ketika harga barangan meningkat hari demi hari.

Beberapa pengguna X turut membandingkannya dengan burger dijual di stadium ketika perlawanan bola sepak yang dijual dengan harga lebih mahal namun isinya tidak seberapa.

“Nampak biasa sahaja kan? Tetapi saya percaya ada orang yang memerlukan makanan dengan harga sebegini bagi mengalas perut. Terima kasih Mydin,” kata seorang pengguna yang memuji tindakan tersebut.

“Kalau (burger) macam ini, dekat stadium harganya RM5 woo. Menangis.” Kata pengguna lain mengenangkan duit yang ‘terbang’ selepas membeli makanan segera tersebut.

Walau bagaimanapun, orang ramai juga meluahkan rasa kecewa memandangkan rakaman tersebut tular selepas promosi di pasar raya berkenaan tamat selain berharap premis tersebut terus menjualnya.

Semoga pasar raya itu terus menjual makanan dengan harga mampu milik supaya semua orang dapat merasa terutamanya mereka yang kurang kemampuan.

Baca juga: Peniaga roti canai hilang sabar, setiap hari pelanggan datang bawa makanan luar dan tinggalkan sampah