Pelanggan ini ‘diburu’ pemilik restoran, terlebih bayar QR RM2,660 untuk nasi lemak

Oleh WAN SITI AMINAH

Sebuah restoran nasi lemak di Petaling Jaya, Selangor kini sedang mencari seorang pelanggan yang terlebih membuat bayaran sebanyak RM2,633.40 di premis tersebut.

Difahamkan, pelanggan berkenaan menggunakan kaedah ‘QR Pay’ untuk membuat pembayaran nasi lemak dibelinya yang sepatutnya hanya berharga RM26.60 sahaja.

Pelanggan itu bagaimanapun memasukkan nilai yang salah ketika membuat bayaran sehingga wang dipindah keluar dari akaun bank miliknya adalah sebanyak RM2,660.

Oleh yang demikian, pemilik restoran memutuskan untuk menularkan kejadian itu di platform media sosial supaya baki wang terlebih milik pelanggan dapat dipulangkan.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook, pihak restoran berkongsi tangkap layar memaparkan pelanggan berkenaan ketika sedang membuat pembayaran di kaunter.

“Adakah ini anda? Anda telah tersilap membayar secara QR kepada kami sebanyak RM2,660 untuk bil yang berjumlah RM26.60. 

“Mohon bantu kami mencari pelanggan ini supaya kita boleh pulangkan semula baki wang itu kepada mereka! Kita (Botak Nasi Lemak), bukan Botak Omakase (merujuk kepada restoran mewah Jepun),” katanya.

Tular di media sosial, hantaran tersebut berjaya mengundang tumpuan ramai dengan rata-ratanya menekan butang ‘kongsi’ supaya ia sampai ke pengetahuan pelanggan.

Ramai juga pengguna yang berseloroh bahawa pelanggan berkenaan mungkin orang senang sehingga tidak menyedari telah terlebih bayar jauh daripada jumlah sebenar.

Beberapa individu turut memuji pihak restoran kerana tidak mengambil kesempatan atas kesilapan pelanggan namun segera bertindak bagi memulangkan wang lebihan.

Dalam perkembangan terbaharu, pihak restoran menerusi ruangan komen memaklumkan bahawa baki wang yang terlebih bayar sudah diserahkan kepada pelanggan.

Mereka juga turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam kerana menularkan perkongsian itu sehingga wang berjaya dipulangkan.

Baca juga: Kedai jual kopi secawan harga hampir RM90, rupanya ada sebab ia mahal, kurang kaffein