Balik kerja terus terkam ‘game’, ayah insaf lepas anak membisu ditanya ‘tak sayang Daddy?’

Oleh WAN SITI AMINAH

Gara-gara terlalu leka bermain permainan video atau ‘game’, seorang lelaki bergelar ayah lupa akan tanggungjawabnya membina hubungan erat bersama anak-anak.

Sedangkan anak-anak yang sedang membesar memerlukan perhatian dan sentuhan kasih sayang dari kedua ibu bapa mereka, bukan hanya sekadar wang ringgit sahaja.

Bapa terbabit bagaimanapun mula menyedari kesilapannya apabila anaknya sendiri enggan memeluknya malah langsung tidak menghiraukan pertanyaan diberikannya.

Kejadian itu diceritakan oleh isteri kepada lelaki terbabit menerusi satu perkongsian di platform X (dahulu dikenali sebagai Twitter) tanpa mendedahkan identiti sebenar.

“Saya suri rumah yang berusia 36 tahun. Sudah berkahwin selama 10 tahun. Suami bekerja, seratus peratus tanggung kami. Saya buat kerja rumah dan jaga anak-anak. Dia balik rumah, saya sudah siap masak. Jadi dia makan, main game dan tidur.

“Saya tak kisah, selagi dia berikan duit yang cukup. Keluarga kami sepatutnya sudah lengkap, tetapi terlupa satu perkara. Satu hari, anak lelaki datanglah peluk saya dan cakap ‘saya sayang Mommy’. Macam biasa hari-hari dia buat. 

“Kali ini suami nampak dan bertanya, ‘Daddy tak sayang?’. Anak kami senyum sahaja dan beredar. Suami cakap ‘Daddy nak peluk’ pun dia tak heranlah. Terus pergi main. Saya tengok muka suami, memang sudah berubah,” katanya.

Wanita itu bagaimanapun merasa lega apabila suaminya menyedari situasi tersebut dengan segera dan berusaha menjernihkan semula hubungan bersama anak-anak.

Namun perkara tersebut tidaklah mudah untuk dicapai berikutan memakan masa dan memerlukan usaha yang berterusan agar hubungan keruh itu kembali jernih semula.

“Waktu itu barulah suami sedar. Dia belikan mainan di platform atas talian. Sampai sahaja anak aku cakap, ‘mommy belikan mainan lagi ke? Tolong buka!’. Suami bila dengar, rasa paneh (panas). Tetapi dia diam sahajalah.

“Aku tak bukalah bungkusan itu. Suruh anak-anak buka dengan ayah mereka. Dalam usaha untuk mengeratkan kembali hubungan, suami ajak bercuti pada hari minggu. Dia belikan tiket taman tema dan tidur di hotel.

“Tetapi sepanjang bercuti, anak macam rasa tersinggung kalau suami suruh mereka buat sesuatu. Kalau saya suruh, boleh pula. Anak-anak macam menganggap ayah mereka ‘roommate’ menjengkelkan yang suka suruh-suruh,” jelasnya.

Meskipun sempat merasa hairan mengapakah suaminya menerima layanan sedemikian dari anak-anak, wanita itu akhirnya menemui jawapan selepas menilai perlakuan ayahnya sendiri.

Menurut wanita itu, ayahnya juga mencari rezeki seorang diri namun tetap mencari masa untuk diluangkan bersama anak-anak dan isteri agar hubungan kekeluargaan mereka tidak terjejas.

“Ayah aku dahulu pencari nafkah juga. Kerja rumah pun tak buat. Selepas itu aku sedar ayah kalau balik, mesti sambung buat kerja di rumah tamu di mana kami berada. Bawa dokumen dan komputer riba dia sekali di situ.

“Kadang-kadang bersenam depan televisyen. Angkutlah dumbel dan basikal dia itu. Kemudian dia tengok kartun dengan anak-anak. Walaupun tak tolong tengokkan kerja sekolah kami, tetapi ayah selalu ada dan berkomunikasi.

“Nanti mak datang lipat kain dan kami berborak, gosiplah tentang hari itu. Sampai sekaranglah hubungan saya dan ayah masih baik. Kesimpulannya, saya rasa game dan sosial media telah musnahkan hubungan suami dengan anak-anak.” Ujarnya.

Baca juga: Baru lima hari hantar ke taska, anak yang dinanti 13 tahun maut di tangan pengasuh