Tiga beradik kahwin berwalikan abang, sekali mak cik bongkar mak ayah tak pernah kahwin, sijil nikah palsu

Oleh MAISARAH AISYA

Inilah penting bernikah dengan cara yang betul dan tidak terlanjur sebelum menghalalkan hubungan.

Sebab sudah ada banyak kes di mana ibu bapa menipu anak-anak konon mereka berkahwin sedangkan tidak, malah merahsiakan pula hal tersebut.

Seorang Peguam Syarie menerusi TikTok, Puan Hazwani Zainal berkongsi mengenai kisah wanita yang ingin faraqkan nikah selepas ibu bapanya kantoi memalsukan sijil nikah.

Wanita tersebut mengadu sama ada dia perlu faraqkan nikah selepas berkahwin dengan abangnya sebagai wali sedangkan ibu bapanya tidak pernah bernikah.

Jelas Puan Hazwani disebabkan ibu bapa wanita itu tidak berkahwin makanya si abang adalah saudara seibu.

“Ibn Qudamah ada menyebutkan “Kaum kerabat yang tiada pertalian ‘Asabah (dari sebelah bapa) tidak mempunyai kuasa menjadi wali, seperti saudara lelaki seibu, bapa saudara sebelah ibu, bapa saudara kepada ibu, datuk sebelah ibu dan lain-lain.

“Inilah pandangan yang disebut oleh Imam Ahmad dalam banyak tempat, dan ia juga pandangan Imam Syafie dan salah satu daripada dua riwayat Imam Abu Hanifah,” ujar Puan Hazwani.

Jelas pengadu segalanya hanya kantoi selepas mak cik mereka membuka mulut menyebabkan dia mendesak ibunya untuk menceritakan hal sebenar.

“Saya dapat tahu dari mak cik (kakak kepada mak). Jadi saya minta mak ceritakan perkara sebenar, jenuh juga kami adik beradik pujuk.

“Lepas tu baru mak buka cerita yang sebenarnya dia kena buang keluarga selepas terlanjur dengan ayah maka mereka tinggal sekali walaupun tak berkahwin.

“Sijil nikah tu kawan ayah saya yang palsukan supaya kami adik beradik boleh berbin dan berbintikan kepada ayah,” ujar pengadu.

Puan Hazwani kemudian menasihatkan pengadu dan dua adik perempuan yang sudah berkahwin untuk faraqkan nikah sebab diwalikan oleh abang yang jelas anak tidak sah taraf.

Baca juga: Wanita dedah penipuan ‘lampin bayi’ di pasar raya, rupanya dah ramai jadi mangsa!