Niat seorang isteri mengambil hati suami dengan ‘mengikat perut’ terbantut apabila lelaki itu langsung tidak menghargai malah tergamak mengutuk masakannya.
Lebih memburukkan keadaan, kutukan yang diberi oleh lelaki terbabit turut ditujukan kepada ibu mentuanya sendiri tanpa berlapik atau memikirkan perasaan isterinya.
Kejadian tersebut cukup melukai hati sang isteri kerana ibunya begitu bersemangat menyediakan makanan untuk menyambut kepulangan menantu kesayangannya itu.
“Hari itu sengajalah tanya manja-manja kepada suami, sedap tak masakan saya. Dia jawab, ‘bolehlah dimakan, tetapi masakannya hambar (tawar) macam masakan mak awak. Kalau mak saya masak, boleh menikmati setiap rasa itu’.
“Saya terdiam dan seminggu jugalah mengelak untuk masak. Dari sesi nak bermanja, terus putus selera. Macam itu sahaja dia kutuk masakan mak saya. Padahal setiap kali kami balik kampung, mak paling semangat masak untuk dia.
“Rupanya ini komen dia (tentang masakan mak). Punyalah mak saya puji suami baik malah tak pernah merungut apa-apa mengenai menantu dia,” kesal wanita itu ketika meluahkan perasaannya.
Perkongsian tersebut dibuat oleh sang isteri tanpa mendedahkan identiti sebenarnya menerusi satu hantaran tular dimuat naik di platform X (dahulunya dikenali sebagai Twitter).
Menggunakan alasan jujur adalah sikap yang baik, lelaki itu turut mengutuk hadiah diberikan mentua sebagai tanda ingatan selepas pulang dari mengerjakan umrah.
“Baru-baru ini ibu bapa saya pergi umrah. Anak menantu dapat sejadah dan jubah seorang satu. Siap ada nama dekat sejadah. Sampai sahaja di Kuala Lumpur, suami saya belek sejadah itu.
“Dia komen, ‘ini mesti sejadah murah, nipis sangat’. Saya terus lipat sejadah itu dan masuk bilik menangis. Jenis jujur dan celupar tak bertempat. Saya pernah tegur dia mengenai hal ini. Dia kata jujur itu sikap yang baik,” tulis wanita itu.
Baca juga: Buat program dakwah dengan isteri, Sabri Yunus tak mahu digelar digelar ‘ustaz segera’