Penganalisis prestasi bola sepak kini bergelar penjual kereta, rayu kelab bayar tunggakan gaji

Oleh MALAYSIADATELINE

Terdesak meneruskan kehidupan, seorang bekas penganalisis prestasi untuk sebuah pasukan bola sepak tempatan terpaksa melupakan kerjayanya dalam arena sukan.

Itulah kenyataan pahit harus dilalui oleh bekas penganalisis prestasi pasukan Perak FC, Muhammad Azim yang kini bekerja sebagai jurujual kereta untuk mencari rezeki.

Azim menerusi satu hantaran di platform Facebook turut mendedahkan bahawa pasukan terbabit masih belum menyelesaikan tunggakan gajinya sehingga ke hari ini.

Menurutnya, pasukan Perak FC bukan sahaja gagal membayar gaji malah turut culas dalam membuat potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan cukai.

Dalam hantaran yang sama, Azim turut merayu agar kelab bola sepak itu segera menyelesaikan baki tunggakan gaji kerana duit untuk membeli susu dan lampin pakai buang anaknya tidak mencukupi.

“Hai Perak Football Club (FC). Bila nak bayar baki tunggakan gaji saya ya???. Income tax (potongan cukai) dan KWSP?.

“Saya ada anak dan isteri untuk ditanggung, ada komitmen yang perlu dibayar. Nak beli susu dan pampers (lampin pakai buang) anak ini,” kata bekas penganalisis itu dalam hantaran tersebut.

Pendedahan yang dilakukan oleh Azim ini membuktikan bahawa isu tunggakan gaji dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini semakin kronik sehingga menjejaskan pendapatan pegawai pasukan bola sepak.

Sebelum menyertai Perak FC, Azim pernah berkhidmat sebagai penganalisis prestasi pasukan Terengganu FC (TFC) ketika kelab bola sepak berkenaan berada di bawah kendalian Nafuzi Zain.

Azim kemudian bertukar haluan pada awal musim lalu dengan menyertai Perak FC sebelum mengundur diri lalu terjun ke dalam bidang penjualan kereta untuk meneruskan kehidupannya.

Sekadar info, Muhammad Azim kini menjalankan tugas sebagai jurujual kenderaan di sebuah premis jualan kereta nasional negara yang terletak di Kuala Dungun, Terengganu.

Baca juga: Penduduk flat jumpa rangka warga emas dalam rumah, terkejut dah 4 tahun meninggal tanpa siapa sedar