Siapa sangka, cuti umum dan cuti sekolah yang berlaku pada minggu ini tidak hanya menyebabkan kesesakan jalan raya malah turut menjejaskan ‘lalu lintas’ di tandas awam wanita di sebuah stesyen minyak.
Akibatnya, orang ramai yang terdiri daripada wanita dewasa dan juga kanak-kanak perempuan terpaksa beratur lama demi menunggu giliran untuk melepaskan hajat masing-masing.
Situasi yang dipercayai berlaku di tandas awam stesen minyak terletak di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tanjung Malim, Perak itu juga sempat dirakamkan sebelum dimuat naik di platform TikTok.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna mengakui terkejut apabila melihat kesesakan di tandas awam berkenaan yang dikatakan hanya berlaku pada musim perayaan.
Ramai pengguna juga berpendapat bahawa mereka rela ‘menahan diri’ atau mencari jalan lain untuk membuang hajat dari berbaris panjang dalam tempoh masa berjam-jam lamanya.
“Kenapa ya kali ini lain macam sesaknya. Macam musim perayaan pula orang ramai balik kampung,” kata seorang pengguna yang hairan melihat kesesakan di tandas awam tersebut.
“Tunggu lama-lama, selepas itu masuk tandas bau busuk. Baik aku tahan sahaja,” akui pengguna lain yang tidak rela menggunakan tandas tersebut jika berhadapan dengan situasi sama.
Beberapa individu dipercayai penduduk sekitar atau pengguna jalan raya berkenaan turut memberikan penjelasan bahawa kesesakan seperti itu bukanlah kali pertama berlaku.
Malah ada juga pengguna yang sempat meninggalkan komen mencuit hati berikutan kesesakan ‘lalu lintas’ tersebut hanya berlaku di tandas awam wanita, manakala lelaki pula jarang menghadapi masalah sama.
“Dekat sini setiap hujung minggu pun memang sesak. Inikan pula cuti umum dan cuti sekolah. Harap yang beratur di belakang sekali sempatlah ke tandas,” jelas pengguna terbabit sambil berseloroh.
“Tetapi yang peliknya tandas perempuan sahaja beratur panjang, tandas lelaki biasa sahaja.” Celetuk seorang pemuda membangkitkan perbincangan orang ramai mengenai situasi itu.
Baca juga: Lepas 6 hari melancong ke Hong Kong, pemuda ini dedah kenapa dia lebih bersyukur duduk di Malaysia