Dilihat pelajar zaman sekarang terlalu terdedah dengan media sosial malah cita-cita juga berubah daripada bidang profesional kepada sekadar menjadi selebriti media sosial.
Ini menyebabkan keputusan peperiksaan menjadi sangat teruk malah ramai dilihat bangga memuat naik sijil keputusan gagal serta Tidak Hadir (TH) tertulis di atasnya.
Disebabkan itu bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) wajar dikembalikan semula.
Jelas Mahdzir, peperiksaan itu sudah terbukti menjadi teras kepada aspek kemenjadian murid serta pelajar lapor Harian Metro.
“Saya berpandangan bahawa peperiksaan UPSR dan PT3 itu ada nilainya yang tersendiri.
“Ia menjadi satu komponen penting dalam sistem pendidikan kita sejak sekian lama kita menggunapakainya.
“Ada kewajarannya untuk kita adakan semula peperiksaan itu kerana ia sudah terbukti menjadi teras kepada aspek kemenjadian murid serta pelajar.
“Ini yang kita mahukan untuk anak-anak generasi pewaris masa depan negara,” ujarnya seperti dipetik Harian Metro.
Pemansuhan UPSR dan PT3 dibuat oleh Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pada 2022.
Buat Mahdzir, keputusan itu dibuat dalam situasi tergesa-gesa dan tanpa melakukan kajian mendalam.
Pemansuhan peperiksaan itu yang digantikan dengan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Ini juga memberi kesan kepada penilaian sebenar tahap pencapaian murid serta pelajar, malah membebankan para guru.
Murid kurang bersungguh
Pada masa sama, Mahdzir juga melihat pelajar sekarang kurang bersungguh apabila dua peperiksaan besar itu dimansuhkan.
“Saya juga melihat daripada sudut tahap persaingan dan kesungguhan murid tahun enam dan pelajar tingkatan tiga yang agak berkurangan apabila tiada peperiksaan UPSR dan PT3.
“Sebelum ini, murid dan pelajar berada dalam suasana persaingan dan kesungguhan yang cukup tinggi untuk mencapai kejayaan.
“Begitu juga di peringkat ibu bapa yang bersemangat untuk melihat anak-anak mereka berjaya menerusi peperiksaan itu dengan memberi lebih perhatian kepada pembelajaran anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan,” katanya.
Baca juga: Penjaja rambo warga asing ‘berkuasa’ di Bukit Bintang, kaut untung RM3k sehari hanya jual bunga