Seorang wanita berjaya mencuri perhatian ramai selepas memuat naik satu rakaman di platform TikTok susulan terlibat dalam kemalangan, baru-baru ini.
Mana tidaknya, wanita itu kelihatan begitu tenang meskipun kenderaan jenis Perodua Axia miliknya sudah tersadai jauh dari bahu jalan lebih tepatnya di kawasan semak.
Difahamkan, kereta yang dipandu olehnya ketika di dalam perjalanan ke tempat kerja itu terbabas dan hilang kawalan sebelum terkandas dalam kawasan semak tersebut.
Wanita itu bagaimanapun langsung tidak kelihatan cemas malah sempat ‘berborak’ dengan kereta kesayangannya selepas kejadian kemalangan berkenaan berlaku.
“Saya tiada niat pun. Memanglah saya kata nak beli kereta baharu. Tetapi saya tak kata nak jual awak pun kan? Kenapa hari ini awak tak perform? Sudah lapan tahun kita perform sama-sama, drifting.
“Hari ini kenapa awak tak perform?. Kenapa hari ini kita ke dalam semak? Ini bukan jalan yang sebenar nak pergi kerja kesayanganku. Ini bukan jalan sebenar, kita sudah sesat,” kata wanita terbabit kepada kenderaan miliknya.
Wanita itu turut memanjatkan kesyukuran kerana tidak mengalami sebarang kecederaan dan kenderaan miliknya juga boleh terus digunakan ekoran berfungsi dengan baik selepas kemalangan itu berlaku.
Setakat artikel ini ditulis, perkongsian wanita berkenaan telah berjaya meraih 1.1 juta tontonan dengan rata-rata penonton mengakui terhibur selepas melihat rakaman tersebut.
Ramai juga pengguna membanjiri ruangan komen untuk mendoakan agar urusan wanita terbabit dipermudahkan selain kagum akan sikapnya menghadapi ujian dengan begitu tenang.
Beberapa individu turut berseloroh dengan mengatakan bahawa insiden itu mungkin berpunca daripada tindakan pemilik kereta yang tidak menyembunyikan keinginannya untuk membeli kenderaan baharu.
“Ini kalau tiada video bukti, memang majikan tak akan percaya pemilik kereta terlibat dengan kemalangan. Suara dia tak mencerminkan pemilik baru kemalangan,” kata seorang pengguna.
“Itulah orang tua-tua cakap. Kalau kita nak tukar baharu, diam-diam sahaja. Nanti yang lama buat perangai. Kami lelaki berpegang teguh dengan petua orang dulu-dulu.” Seloroh pengguna lain.
Baca juga: Tinggal di rumah buruk tapi ada aset RM2 Juta, lembaga zakat siasat makcik ini