Seorang wanita tergamak memberi alasan ‘tidak sengaja’ apabila hubungan sulitnya dengan dua orang lelaki yang berbeza diketahui oleh suaminya.
Lebih memburukkan keadaan, hubungan sulit yang dijalinkan oleh wanita berkenaan begitu serius sehingga melahirkan dua cahaya mata tanpa pengetahuan suaminya.
Perbuatan wanita terbabit bagaimanapun terbongkar selepas suaminya tergerak hati untuk menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas dua anak mereka itu.
Betapa hancurnya hati sang suami apabila keputusan DNA tersebut mendapati anak itu datang dari dua benih berbeza malah mereka bukanlah darah dagingnya sendiri.
Suami berkenaan kemudian mengambil keputusan untuk memfailkan permohonan cerai terhadap isterinya dan kes tersebut dikongsikan oleh seorang pengguna TikTok di platform berkenaan.
“Mereka sudah tiga tahun berkahwin. Memiliki dua orang anak. Tetapi malangnya kedua anak tersebut tiada DNA suami. Lebih sadis lagi, kedua anak itu mempunyai DNA yang berlainan. Bermaksud dua ayah dan satu mak.
“Si suami kata dalam kandang mahkamah, ‘Tuan hakim, kedua anak itu bukanlah dari saya’ sambil menunjukkan bukti ujian DNA. ‘Ya, saya teringin sangat nak ada anak. Tetapi saya ditipu hidup-hidup tuan’ kata si suami lagi.
“Sambungnya, ‘Apabila saya tanya isteri, dia boleh kata tak sengaja. Apa jenis punya hati pun saya tak tahulah dia ini’,” kongsi akaun TikTok berkenaan mengenai keterangan si suami dalam mahkamah syariah.
Hakim kemudian bertanyakan hal tersebut kepada si isteri sebelum wanita itu mengesahkan keterangan suaminya bahawa hubungan sulit tersebut sememangnya berlaku secara ‘tidak sengaja’.
Selepas mendengar jawapan daripada mulut wanita itu sendiri, hakim kemudian membenarkan pihak penuntut iaitu suami berkenaan melafazkan talak terhadap isterinya itu.
‘Hakim mahkamah syariah ini akan bertanggungjawab di akhirat jika salah membuat keputusan. Tetapi apabila mendengar si isteri kata tak sengaja, hakim sudah tahu sikap wanita itu macam mana.” Jelas pengguna itu.
Baca juga: “Tak ada siap paksa” – Cliff Umar akui salah sendiri terjebak dalam kes penyalahgunaan dadah