Seorang abang sanggup menunggang motosikal sejauh 613 kilometer selama dua hari untuk menemani adiknya mendaftar sebagai pelajar baharu di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada pagi Selasa.
Difahamkan, pemuda dikenali sebagai Ee Tai Qing yang merupakan penjual buah-buahan menunggang motosikal miliknya dari Melaka ke universiti terletak di Sintok, Kedah itu.
Tai Qing sanggup berbuat sedemikian untuk menemani adiknya, Ee Tai Zhi, 21, yang merupakan antara salah seorang daripada 4,195 pelajar baharu yang mendaftar di UUM pada Selasa.
Kisah pengorbanan Tai Qing terhadap adiknya itu berjaya mencuri perhatian ramai selepas ia tular di media sosial sejurus dikongsikan menerusi satu hantaran di akaun Facebook rasmi UUM.
“Tai Qing yang berusia 27 tahun itu menaiki motosikal dari Sungai Udang, Melaka ke UUM Sintok sejak dua hari lepas. Pagi tadi (Selasa) dia tiba di Bangunan Canselori UUM.
“Dia disantuni oleh Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed.
“Adiknya, Tai Zhi yang berusia 21 tahun itu akan mengikuti Program Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti dan berjanji untuk memberi fokus apabila kuliah bermula,” tulis hantaran itu.
Dalam ruangan komen hantaran tersebut, pihak UUM memaklumkan bahawa abang Tai Zhi selamat sampai ke Melaka pada sekitar pukul 10.30 malam pada hari yang sama selepas mendaftarkan adiknya.
Sementara itu, Tai Zhi mengakui bahawa dirinya tidak menyangka bakal mendapat pilihan program yang diminatinya bagi menyambung pelajarannya di pusat pengajian berkenaan.
‘Saya tak menduga mendapat pilihan program yang saya minati dan ingin menimba pengalaman baru di Lembah Sintok. Saya berjanji untuk memberi tumpuan penuh dan mengambil segala ilmu yang diajar pensyarah berpengalaman.” Katanya.
Setakat artikel ini ditulis, hantaran tersebut telah meraih ribuan tanda suka dengan rata-rata pengguna terharu dengan pengorbanan Tai Qing dan berharap Tai Zhi tidak lupa membalas jasa abangnya kelak.
Baca juga: Wanita sakit hati restoran di Port Dickson cekik darah, berhabis RM342 tapi rasa biasa-biasa