Sejak semalam hangat diperkatakan apabila seorang ketua kampung atau tok penghulu di Tumpat, Kelantan didakwa mengagihkan secara tidak adil bantuan banjir yang diserahkan oleh pempengaruh Khairul Aming.
Dakwaan itu dipercayai bukan tuduhan rambang kerana sudah tersebar video memaparkan barangan bantuan Khairul Aming dibuka kesemuanya sebelum diasing-asingkan barangan itu untuk diagih.
Apa yang membuatkan ramai tidak puas hati apabila salah seorang mangsa banjir mendakwa mereka hanya menerima sebungkus mi segera dan sebungkus biskut kering.
Susulan itu, Khairul Aming dalam siaran langsung di TikTok miliknya tampil memberikan respon berhubung dakwaan ramai itu.
Pempengaruh selebriti itu berkata, dia enggan terlibat secara langsung dalam isu tersebut memandangkan tidak menerima info sahih berkenaan hal itu.
Pada masa yang sama katanya, dia dan pasukan hanya bertanggungjawab untuk menghantar barangan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), dan tidak membenarkan pasukannya untuk masuk campur dalam hal ini.
“KA tak nak masuk campur dan saya tak benarkan team KA pun masuk campur isu itu. Info yang kami ada adalah kami cuma letak barang di sana kemudian kami terus gerak. Itu sahaja.
“Minta maaf KA tak boleh nak fokus semua ‘isu rumah tangga’ kat sana. Memang kita kat sini sangat-sangat padat dan laju sebab ramai lagi yang tak dapat bantuan,” katanya.
Bagi mengelakkan perkara menjadi lebih keruh, Khairul Aming meminta agar individu tersebut untuk membuat laporan polis.
“Kalau betul benda tu jadi, buat laporan polis ke apa ke. Tapi selain daripada itu, team KA memang tak boleh masuk campur dan tak tahu langsung info. Takut nanti jadi fitnah,” ujar Khairul Aming.
Baca juga: Habis RM20k untuk kenduri, pengantin nekad derma makanan kepada orang ramai sebab banjir