Wang tunai lebih RM45 juta ditemui, bekas pengarah JANS simpan dalam rumah, kereta dan pejabat

Oleh MALAYSIADATELINE

Rakyat menderita manakala orang kaya semakin kaya disebabkan berlakunya pecah amanah yang dilakukan hanya dipandang ringan.

Memilih untuk menyimpan duit hasil wang pengubahan haram secara tunai, Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Ag Mohd Tahir Mohd Talib berdepan pelbagai dakwaan.

Lebih RM45 juta wang tunai dirampas selepas Ag Mohd Tahir terlibat dalam kes pengubahan wang haram pada 2016 lapor Bernama.

Menurut Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat, berdasarkan keterangan saksi, wang tunai sebanyak RM23.69 juta dijumpai di pejabat Ag Mohd Tahir di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS)

Manakala RM8.56 juta di rumah tertuduh serta isterinya, Fauziah Piut dan sejumlah RM9.19 juta lagi ditemukan di dalam kereta jenis Mazda serta RM4.13 juta dalam kereta Mercedes.

Bukan hanya mata wang dari Malaysia malah pelbagai mata wang asing termasuk dolar Amerika Syarikat, pound sterling, euro, dirham Emiriah Arab Bersatu dan banyak lagi.

“Sepanjang perbicaraan kes ini, berdasarkan keterangan saksi pendakwaan dan penemuan wang tunai yang begitu banyak di beberapa tempat.

“Mahkamah berpuas hati pendakwaan telah membuktikan bahawa OKT1 (Ag Mohd Tahir) menggunakan kedudukannya sebagai Pengarah di JANS.

“(Ag Mohd Tahir) telah terlibat dalam aktiviti haram iaitu rasuah melalui skim kutipan berpusat yang bermula sejak tahun 2005 hingga tahun 2016,” katanya dalam penghakiman.

Beliau memerintahkan Ag Mohd Tahir, Fauziah dan bekas Timbalan Pengarah JANS Lim Lam Beng membela diri atas pertuduhan pengubahan wang haram.

Ini adalah setelah mendapati pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Ag Mohd Tahir berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 serta 11 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) akta sama.

Beliau dan isterinya juga didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) akta sama atas dua pertuduhan manakala Fauziah dan Lim masing-masing turut berdepan 19 serta empat pertuduhan di bawah seksyen dan akta sama.

Mahkamah menetapkan 26 hingga 28 Februari dan 28 hingga 30 April tahun depan untuk tertuduh membela diri.

Baca juga: Setpol Anwar akui ada yang iri hati dengan kejayaan PM tarik pelabur luar