Netizen terkejut tengok iklan ‘trip’ nikah di Thailand, agen tawar pakej kahwin dulu bayar kemudian

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru tular satu perkongsian yang mempromosikan pakej ‘perlancongan’ perkahwinan di Thailand menerusi platform TikTok hingga menimbulkan satu perbincangan hangat di kalangan pengguna media sosial tempatan.

Mana tidaknya, agensi didakwa sudah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) itu menawarkan pakej ‘nikah dahulu, bayar kemudian’ khusus untuk rakyat Malaysia yang ingin menikah di negara seberang.

Berdasarkan perkongsian itu, mana-mana pasangan yang berminat dengan pakej tersebut akan dikenakan bayaran sebanyak RM1,699 oleh agensi berkenaan di mana mereka tidak perlu membayar wang pendahuluan.

Sebaliknya, pelanggan yang memilih pakej tersebut boleh melakukan pembayaran selepas urusan pernikahan yang didakwa diadakan di Pejabat Majlis Agama Islam di wilayah Selatan Thailand itu selesai.

“Jimat, Mudah dan Cepat,” tulis pemilik akaun TikTok yang dipercayai salah seorang agen menerusi ruangan kapsyen hantaran tular itu untuk mempromosikan pakej tersebut di platform berkenaan.

Setakat artikel ini ditulis, hantaran yang mencuri tumpuan ramai itu sudah berjaya mendapat tontonan mencecah setengah juta dan 14,800 tanda suka daripada pengguna platform TikTok.

Rata-rata pengguna terutamanya lelaki tidak melepaskan peluang untuk bertanya sekiranya pembayaran secara ansuran dibenarkan memandangkan pakej berkenaan dinamakan ‘nikah dahulu, bayar kemudian’.

Ramai juga pengguna tampil memberikan peringatan kepada pasangan yang berminat untuk menikah di Selatan Thailand bahawa mereka tetap akan dikenakan denda jika mahu mendaftarkan pernikahan di Malaysia kelak.

“Biasanya mereka nak menikah kali kedua buat macam ini. Selepas itu balik Malaysia, kena bayar denda pula. Dua kali kerja, duit habis tak tentu pasal,” kata seorang pengguna.

“Balik nanti apabila nak daftar sijil kelahiran anak, perlu ada sijil nikah yang diiktiraf Malaysia. Kalau tiada sebab nikah dekat Thailand, kena denda hingga RM2,000 untuk buat sijil nikah Malaysia, tak silap.” Kongsi pengguna lain.

Sekadar info, faktor utama kebanyakan suami di negara ini memilih untuk bernikah di luar negara terutama Selatan Thailand adalah keengganan mereka untuk memberitahu kepada isteri pertama mengenai perkahwinan itu.

Manakala faktor lain pula didorong oleh situasi di mana segelintir pasangan tidak mahu memaklumkan kepada keluarga sebelah isteri terutama wali kerana bimbang perkahwinan itu tidak direstui dan dipersetujui.

Baca juga: Bekas isteri Jay Iswazir dedah punca bercerai, dipaksa gugurkan kandungan