Baru tahu belajar sambil dengar muzik adalah perbuatan sia-sia, ini peringatan Dr Fadzilah Kamsah

Oleh WAN SITI AMINAH

“Hentikan amalan mendengar muzik sambil belajar sebab anda melakukan pekerjaan yang sia-sia”, itu adalah antara nasihat diberikan oleh pakar motivasi terkenal, Datuk Dr. Fadzilah Kamsah kepada para pelajar.

Dalam satu rakaman dikongsikan di platform TikTok, Dr Fadzilah mendedahkan bahawa kajian telah mendapati seramai 80 peratus pelajar lebih gemar mengulang kaji pelajaran sambil mendengar sesuatu termasuk muzik.

Walau bagaimanapun, Dr Fadzilah Kamsah memberikan peringatan kepada pelajar untuk tidak berbuat demikian kerana dikhuatiri mereka akan lebih tertarik kepada muzik berbanding apa yang mereka pelajari.

“Lebih 80 peratus pelajar suka belajar sambil mendengar muzik atau sesuatu dekat telinga. Betul tak betul? Jadi Nabi SAW bersabda maksudnya, ‘Buatlah sesuatu kerja pada satu masa, sebab kamu cuma ada satu hati’.

“Cuba berfikir secara logik, kita belajar matematik sambil mendengar lagu yang sangat mendayu-dayu di telinga. Mana lebih seronok? Matematik yang kita belajar atau lagu dekat telinga?.

“Mana boleh cakap matematik itu lebih menarik daripada lagu yang merdu. Sebab hati kita ini akan lebih tertarik kepada perkara yang lebih menarik (seronok),” kata pakar motivasi berkenaan.

@xpromy

BELAJAR SAMBIL DENGAR LAGU NI SCAM! xpromy parenting childeducation childhood childdevelopment excelpro student studyinghabits musicallearning children kidscontent gatekeeping disiplin familybond

♬ original sound – XPRO MY – XPRO MY

Malah hasil kajian juga mendapati bahawa belajar sambil mendengar muzik adalah satu perkara yang sia-sia kerana mereka melakukan dua jenis pekerjaan dalam satu masa hingga gagal menumpukan perhatian.

Namun Dr Fadzilah Kamsah tidak menghalang pelajar untuk mendengar muzik di luar waktu pelajaran seperti ketika beristirahat untuk melepaskan tekanan selepas selesai belajar.

“Kalau nak dengar muzik boleh, tetapi jangan pada waktu belajar. Kalau waktu anda berehat atau sedang bersantai, bolehlah. Kita manusia biasa, memang suka pada hiburan. Tetapi ala kadarlah.

“Ini hasil kajian ya, bukan pendapat peribadi Tok Abah (saya). Jadi berhentilah mendengar muzik sambil belajar sebab anda melakukan kerja sia-sia. Awak akan teringat seni kata dan melodi lagu tetapi lupa apa yang dipelajari.” Jelasnya.

Baca juga: Hina penjual minuman teh ais, Gus Miftah letak jawatan Utusan Khas Presiden