Che Ta nafi Aaisyah dilahirkan dalam ‘dulang emas’, hanya mahu yang terbaik buat anak

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon sensasi, Rozita Che Wan menafikan bahawa anak gadisnya iaitu Aaisyah Dhia Rana dilahirkan dalam ‘dulang emas’ ataupun dibesarkan dengan limpahan kemewahan.

Sebaliknya, selebriti yang lebih mesra disapa sebagai Che Ta itu membesarkan anak-anaknya termasuklah Aaisyah mengikut kemampuan kewangan terutamanya di dalam menunaikan permintaan mereka.

Walau bagaimanapun, Che Ta tidak menafikan bahawa dirinya sentiasa mahu memberikan yang terbaik untuk anak-anak berikutan pernah dibesarkan dalam situasi kurang berkemampuan.

Perkara itu didedahkan oleh Che Ta menerusi satu sesi temu bual bersama Mingguan Wanita di mana sedutan rakamannya turut dimuat naik melalui hantaran di platform media sosial, TikTok.

“Aaisyah bukanlah anak orang kaya. Dia tidak dibesarkan atau dilahirkan dalam dulang emas. Kita besarkan secara seimbang. Kalau ada duit, kita bawalah Aaisyah ke tempat bajet lebih.

“Kalau tiada bajet, kita bawalah dia ke tempat lain. Macam saya dahulu bukanlah anak orang kaya. Jadinya saya layan Aaisyah macam apa yang kita ingini. Teringin nak itu, nak ini atau yang mahal sekalipun,” katanya.

@mingguanwanita

Rozita Che Wan tak mewahkan anak-anak belanja ikut pada bajet yang ada. Malah Che Ta juga memberitahu anaknya Aaisyah bukan dilahirkan dalam ‘dulang emas’, dirinya sendiri sewaktu kecil hidup susah bila berkemampuan tak salah jika nak berbelanja untuk anak-anak. Berbeza dengan suaminya, Zain lebih gemar bawa Aaisyah berbelanja secara sederhana. Jadi seimbang kehidupan anaknya Aaisyah. #mwambiltahu #mingguanwanita #aaisyahdhiarana #rozitachewan #fyp

♬ original sound – MingguanWanita – MingguanWanita

Dalam rakaman berdurasi satu minit enam saat tersebut, pemilik nama sebenar Rozita Abu Bakar itu turut mendedahkan cara didikan suaminya iaitu pelakon, Zain Saidin yang berbeza terhadap anak perempuan mereka.

Pelakon drama komedi yang bertajuk Kiah Perkasam itu menjelaskan bahawa Zain membesarkan Aaisyah secara sederhana mungkin kerana sudah terbiasa hidup dalam kemewahan.

“Tetapi Zain ini, dia orang kaya. Jadinya dia mungkin nak mencuba cara ‘orang biasa’ pula. Mungkin sebab itulah dia bawa Aaisyah (berbelanja di ‘bundle’ atau premis yang menjual barangan terpakai).” Jelasnya.

Sekadar info, Aaisyah yang lahir pada 1 November 2014 di Hospital Pakar Ampang Puteri itu merupakan anak hasil perkahwinan Che Ta bersama pelakon, Zain Saidin pada 2013 lalu.

Pelakon yang kini berusia 51 tahun itu juga mempunyai dua cahaya mata lelaki iaitu Ammar Effendy dan Aniq Ezzra hasil dari perkahwinan terdahulu bersama suami pertamanya.

Baca juga: Tak berdiam diri isu hutang isteri, Zain Saidin sibuk jual minyak wangi