Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM7 juta dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Hakim K Muniandy memutuskan sedemikian selepas membenarkan permohonan Rosmah bagi membatalkan semua pertuduhan terhadapnya atas alasan tuduhan tersebut dilakukan tanpa asas dan pendakwaan tidak mengemukakan sebarang unsur kesalahan dalam tuduhan yang dikenakan.
Permohonan untuk membatalkan pertuduhan berkenaan difailkan oleh Rosmah pada September 2023 dan perbicaraan dimulakan pada 12 Disember tahun lalu selepas sebahagian kes didengar dengan keterangan daripada dua saksi.
Rosmah didakwa atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) antara 2013 dan 2018, lapor Utusan Malaysia.
“Tanpa perincian mengenai kesalahan yang dilakukan, apa yang tinggal ialah tindakan mendepositkan wang ke dalam akaun yang mana bukanlah sesuatu yang salah di sisi undang-undang,” kata K Muniandy memetik laporan Utusan Malaysia.
Perbicaraan kes itu bermula pada 24 Ogos lalu dan dua orang saksi dipanggil memberikan keterangan sebelum ia terhenti selepas Rosmah memfailkan permohonan untuk menggugurkan pertuduhan pada 6 September 2023.
Untuk pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.
Manakala bagi pertuduhan berkaitan LHDN pula, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 sebagaimana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Hukuman untuk kesalahan membabitkan pengubahan wang haram dan mengelak cukai adalah penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Rosmah bagaimanapun masih perlu menghadapi prosiding rayuan terhadap keputusan Hakim, Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.
Baca juga: Anak perantau dedah 10 sisi hitam tinggal di luar negara, nombor 10 jauh beza dengan Malaysia