Pelakon, Jay Iswazir dilaporkan sudah menyerahkan notis tuntutan ataupun ‘letter of demand’ (LOD) kepada bekas isterinya yang juga merupakan seorang aktres iaitu Azzahra Ahmad.
Penyerahan notis tersebut dibuat susulan tindakan bekas isterinya yang didakwa telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap dirinya selepas mereka berpisah, baru-baru ini.
Menerusi kenyataan rasmi dari pihak Jay, Azzahra diminta untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada bekas suaminya itu bermula dari tarikh notis tuntutan dikeluarkan iaitu pada 19 Disember 2024.
Sekiranya Azzahra enggan berbuat sedemikian, pelakon berusia 42 tahun itu akan memfailkan tuntutan rasmi di mahkamah dan bertindak menuntut ganti rugi, lapor Oh Bulan.
Difahamkan, notis itu dikeluarkan berhubung kenyataan dibuat Azzahra mengenai layanan buruk diterimanya selama bergelar isteri kepada Jay termasuk dikasari oleh pelakon terbabit.
Terdahulu, bekas pasangan pelakon itu melangsungkan perkahwinan pada 20 Mac 2022 sebelum Azzahra tampil membuat pengumuman di akaun Instagram miliknya bahawa mereka sudah bercerai pada 28 Oktober lalu.
Mulanya enggan mendedahkan punca penceraian, wanita itu kemudian memuat naik hantaran mendakwa dirinya sebenarnya sudah mula dikasari oleh Jay seawal tempoh tiga bulan perkahwinan.
Azzahra juga mendakwa telah dipaksa bekas suami untuk menggugurkan kandungan selepas disahkan hamil ketika mereka dalam proses bercerai sekitar September lalu atas alasan belum bersedia dan kurang berkemampuan.
Pelakon wanita yang mula dikenali ramai menerusi drama Sayangku Kapten Mukhriz itu juga mengakui pernah menghubungi pihak polis namun tidak meneruskan niat membuat laporan kerana enggan memburukkan nama Jay sebagai pelakon.
Sekadar info, Azzahra Ahmad yang pernah bekerja sebagai pramugari itu juga pernah merakamkan lagu berjudul Dia Tak Ku Lupa.
Baca juga: Terkejut dicium tanpa izin, Ayda Jebat akui peminat sekarang lebih ekstrem