Persatuan Haiwan Malaysia (PHM) menggesa Universiti Malaya (UM) untuk menyiasat kematian ngeri melibatkan beberapa ekor kucing dengan menyeluruh demi menjaga imej institusi itu sebagai tempat melahirkan masyarakat bertamadun.
Satu jawatankuasa khusus juga perlu ditubuhkan supaya penyiasatan komprehensif termasuklah mengenal pasti lokasi kamera litar tertutup (CCTV) sedia ada dilakukan untuk mendapatkan rakaman sebelum kejadian kematian itu kucing berlaku.
Hal ini kerana kesan potongan keempat-empat kaki dan belahan pada perut bangkai kucing yang ditemui maut di kawasan universiti berkenaan dikatakan tidak kelihatan seperti bekas serangan atau gigitan kumpulan anjing liar sebaliknya peralatan tajam.
Perkara ini dibangkitkan oleh Presiden PHM, Arie Dwi Andika menerusi satu hantaran tular di platform Facebook susulan penemuan bangkai kucing baharu dengan bentuk kecederaan yang sama di sekitar universiti berkenaan.
“Kes pertama mencatatkan penemuan dua ekor kucing dipotong keempat-empat kaki dengan kesan perut terbelah terburai. Namun pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengklasifikasikan kes sebagai kematian kucing yang ditemui mati akibat serangan dan gigitan kumpulan anjing liar.
“Selang sehari daripada kenyataan rasmi tersebut, sekali lagi seekor bangkai kucing ditemui dalam keadaan kaki dipotong dengan paha dilapah. Penemuan disahkan oleh mahasiswa yang mendedahkan gambar-gambar dikenal pasti dalam kawasan Jabatan Genetik dan Mikrobiologi universiti tersebut.
“Amatlah diragui jika dikatakan (akibat) serangan anjing liar namun kesan kecederaan kaki dan peha kucing itu adalah seperti bekas potongan menggunakan alat tajam,” katanya dalam satu kenyataan di akaun Facebook rasmi milik PHM.
Menurut Arie, pihaknya juga bersedia menawarkan wang sagu hati bernilai RM5,000 kepada para mahasiswa yang mempunyai maklumat sebenar termasuklah bukti visual supaya pelaku terlibat boleh didakwa dan dijatuhkan hukuman di mahkamah.
Pemberi maklumat juga tidak perlu merasa bimbang kerana pihak PHM memberikan jaminan akan menjaga identiti pengadu demi memelihara keselamatan mereka sehingga kejadian kematian kucing tersebut menjadi kes mahkamah jika berlakunya penganiayaan.
“Sekiranya kucing ini dijadikan bahan kajian pembedahan untuk penyelidikan di makmal. Ia perlulah dikendalikan dengan profesional dan bangkai kucing perlu diurus secara pelupusan tanpa melemparnya di halaman yang boleh menyebabkan penyakit berjangkit.
“Aktiviti Penyelidikan merupakan salah satu daripada 13 kegiatan melibatkan haiwan yang memerlukan lesen daripada pihak DVS (Jabatan Perkhidmatan Veterinar),” ulasnya dalam kenyataan tersebut.
Baca juga: Perangai hauk patutlah tak ramai ‘owner’ nak sewakan rumah pada pelajar IPT