Seramai 18 anggota polis Indonesia ditahan kerana disyaki terlibat memeras ugut warga Malaysia yang menghadiri festival Muzik Djakarta Warehouse Project (DWP) pada 15 Disember lalu di Kemayoran, Jakarta Utara.
Ketua Biro Penerangan Awam Divisyen Perhubungan Awam Polis Republik Indonesia, Brigedier Jeneral Polis Trunoyudo Wisnu Andiko memaklumkan, anggota yang ditahan itu terdiri daripada pelbagai unit.
Kesemua anggota ditahan oleh pasukan gabungan dari Divisyen Profesionalisme dan Pengawasan (Propam) Markas Besar Polis Republik Indonesia serta Direktorat Propam Polis Wilayah Metropolitan Jakarta.
Memetik laporan Tempo, Trunoyudo berkata bahawa 18 anggota itu akan menjalani pemeriksaan lanjut dan pihak Kepolisian Negara Republik Indonesia memberi jaminan tidak akan bertoleransi jika terbukti berlakunya salah laku.
“Anggota yang ditahan terdiri daripada unit Polis Wilayah Metropolitan Jakarta, Polis Daerah Metropolitan Jakarta Pusat dan Balai Polis Metropolitan Kemayoran,” katanya memetik laporan Tempo.
Penahanan berkenaan dilakukan susulan aduan daripada beberapa warga Malaysia di media sosial yang mendakwa mereka dianiaya dan juga diperas ugut oleh anggota polis Indonesia sewaktu menghadiri festival DWP.
Beberapa pengunjung warga Malaysia didakwa ditarik di tengah khalayak ramai oleh anggota yang tidak memakai seragam sebelum dipaksa menjalani ujian kencing malah passport mereka juga diambil.
Anggota terbabit kemudian meminta pengunjung untuk membayar sejumlah wang sekiranya mahu melepaskan diri ataupun mendapatkan kembali dokumen passport walaupun keputusan ujian dadah mereka negatif.
Difahamkan setakat ini, kira-kira 400 warga Malaysia mendakwa mereka telah menjadi mangsa pemerasan anggota polis dengan jumlah keseluruhan kerugian mencecah RM 9 juta atau sekitar 32 billion rupiah.
Acara DWP yang berlangsung selama tiga hari di Jakarta International Expo itu tamat pada 15 Disember lalu dan merupakan antara festival muzik elektronik terbesar di benua Asia.
Baca juga: Tepis dakwaan untung syarikat RM40 juta, ini penjelasan Wawa Zainal