Pesilat negara, V Thamaraj telah mencipta rekod tersendiri selepas menjuarai Kejohanan Pencak Silat Dunia Ke-20 di dalam kategori Bebas Putera di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.
Menurut Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin, pencapaian Thamaraj menjadikannya pesilat berbangsa India pertama negara mencul sebagai juara dunia dalam kejohanan itu.
Difahamkan dalam kejohanan itu, Thamaraj menewaskan pesilat dari Uzbekistan iaitu Khudoyberdiev Diyobek bagi membawa pulang pingat emas sekali gus merangkul gelaran juara dunia.
Khabar gembira tersebut dikongsi oleh Megat Zulkarnain yang juga merupakan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor menerusi satu hantaran tular di akaun Facebook miliknya.
“Sejarah tercipta di Abu Dhabi. Buat kali pertama di dalam sejarah dunia, pesilat Malaysia berbangsa India iaitu V Thamaraj memenangi pingat emas seterusnya menjadi juara dunia bagi kategori Bebas Putera.
“Mengalahkan pesilat daripada Uzbekistan. Tahniah Thamaraj,” katanya dalam satu hantaran di Facebook yang turut berkongsi beberapa gambar bersama atlet terbabit di Abu Dhabi.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum meluahkan rasa kagum dan mengucapkan tahniah kepada Thamaraj.
Kejayaan Thamaraj turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tampil mengucapkan tahniah kepada atlet terbabit menerusi hantaran di platform yang sama.
Dalam hantaran itu, Ahmad Zahid juga meluahkan rasa bangga dengan pencapaian skuad silat negara di dalam kejohanan tersebut kerana pesilat senior berjaya meraih enam emas, sembilan perak dan empat gangsa.
Atlet pesilat remaja juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila turut merangkul lima pingat emas serta masing-masing empat perak dan gangsa di dalam kejohanan dunia tersebut.
Baca juga: Pernah viral jawab peperiksaan atas pokok, keadaan terkini Veveonah buat ramai bangga