Tonggak Selangor FC, Faisal Halim berkongsi hasrat di hati untuk kembali menyarung kembali jersi kebangsaan meskipun perlu melalui proses sukar untuk mendapatkan rentak permainan asal.
Menerusi bingkisan laporan khas wartawan Astro Arena, Faisal mengungkap seribu kenyataan menitikkan air mata tatkala berkongsi mengenai perubahannya.
Faisal yang mesra disapa Mickey itu berkata, dia berasa seperti tidak normal berbanding pemain lain kerana perlu menggunakan kudrat yang banyak untuk bergerak lebih-lebih lagi ketika bermain bola sepak.
“Angkat tangan, bergerak mahupun berlari sangat susah bagi saya. Lebih-lebih lagi ketika sedang bermain bola sepak.
“Saya perlu mempelajari gerakan baru supaya dapat mengelak daripada kecederaan di tempat sama.
“Sudah tentu keadaan berbeza. Dalam keadaan sekarang, saya rasa seperti tidak normal berbanding pemain lain.
“Saya perlu biasakan dan terima dengan keadaan terkini. Tangan, badan dan parut saya,” katanya.
Pada masa sama pemain Harimau Malaya itu tidak berselindung mengenai tragedi yang menimpa dirinya, malah berasa sebak apabila ditanya oleh anaknya.
Insiden itu katanya benar-benar memberi kesan yang mendalam terhadap dia dan keluarganya.
“Daddy, kenapa orang jahat buat dekat daddy? Apa saya mahu jawab kepada anak saya?,” katanya lagi.
Kes simbahan asid kekal misteri dan tiada sebarang perkembangan terkini meskipun mendapat perhatian seantero dunia.
Baca juga: Tergamak nodai 3 anak sendiri, lelaki terkejut dengar alasan banduan dihukum penjara 75 tahun