Empat individu yang juga merupakan warga tempatan dilaporkan meninggal dunia selepas menghadiri sebuah konsert sempena meraikan ambang tahun baharu 2025 di Bandar Sunway, Subang Jaya, malam Selasa lalu.
Hasil pemeriksaan yang telah dijalankan ke atas keempat-empat mangsa terlibat bagaimanapun mendapati tiada sebarang kecederaan luaran ditemukan pada tubuh badan mereka.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan pihaknya menerima empat laporan polis daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkaitan kematian mangsa masing-masing dua lelaki dan dua wanita.
Jelasnya, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kematian kesemua mangsa yang berumur antara 20 hingga 40 tahun terbabit, lapor Berita Harian.
“Hasil siasatan awal mendapati, keempat-empat individu itu menghadiri konsert ‘Pinkfish’ di Bandar Sunway. Bedah siasat selesai dijalankan dan punca kematian masih menunggu siasatan makmal.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), namun siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau unsur keracunan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mohd Ridzal Puat di talian 03-56382122 atau mana-mana balai berhampiran,” katanya memetik lapora Berita Harian.
Baca juga: Lelaki warga emas kantoi khalwat, bagi alasan penat sambut tahun baru