Selepas Covid-19, virus baru dari China mula mengganas

Oleh ROSLAN ZAMAN

Selepas virus Covid-19 melanda dunia dengan teruk, kini situasi yang sama mungkin berlaku lagi.

Ini berikutan Keadaan kesihatan awam di China yang berada dalam keadaan genting, dengan peningkatan kes virus pernafasan akibat human metapneumovirus (HMPV).

Virus pernafasan ini telah menular dengan pantas, terutamanya di kawasan utara negara itu, menyebabkan hospital penuh sesak dan sistem penjagaan kesihatan menjadi tidak terkawal, kata laporan Bharian.

Wilayah utara China adalah kawasan yang paling teruk terjejas, dengan peningkatan ketara kes melibatkan kanak-kanak, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China (CCDCP).

Walaupun telah dikenal pasti selama hampir dua dekad, HMPV kini mencetuskan kebimbangan serius kerana tiada vaksin atau ubat khusus untuk menanganinya.

HMPV tergolong dalam keluarga Pneumoviridae dan genus Metapneumovirus, serta merupakan virus RNA rantaian tunggal bersampul.

Menurut kajian, virus ini telah wujud sekurang-kurangnya 60 tahun dan kini menjadi salah satu virus pernafasan biasa yang tersebar di seluruh dunia.

Virus ini boleh menjangkiti semua peringkat umur, tetapi kumpulan yang paling terdedah ialah kanak-kanak, warga emas, dan individu yang mempunyai sistem imun lemah.

HMPV sering menyebabkan gejala seperti batuk, demam, hidung tersumbat, dan nafas berbunyi.

Namun, dalam kes yang lebih teruk, ia boleh membawa kepada bronkitis dan radang paru-paru, yang berpotensi membawa maut.

Baca: Perolehan vaksin COVID-19 tidak ikut prosedur, dedah Anwar