Kesal lukisan bapa dituduh janaan AI, anak tunjuk proses ciptaan ikon Tahun Melawat Malaysia 2026

Oleh WAN SITI AMINAH

Anak kepada pelukis ikon dan maskot bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) menafikan dakwaan bahawa hasil karya bapanya itu dijana dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Sebaliknya, lakaran ikon dan maskot beruang matahari Malaya yang direka dalam bentuk animasi itu adalah hasil kreatif sepenuhnya oleh bapanya sendiri dipercayai merupakan seorang pelukis tempatan.

Menerusi satu hantaran dimuat naik di platform X, anak pelukis berkenaan turut berkongsi gambar memaparkan beberapa lakaran beruang matahari di atas meja bapanya sebagai bukti bahawa ia bukanlah hasil janaan AI.

Hantaran itu dimuat naik sebagai respon kepada dakwaan bahawa rekaan beruang matahari yang diberi nama Wira (jantan) dan Manja (betina) itu dihasilkan menggunakan teknologi bukanlah karya asli.

“Hai, ini bukan (hasil janaan) AI, ia adalah lukisan asli dari ayah saya,” katanya yang turut berkongsi tangkap layar perbualan bersama bapanya berhubung proses rekaan awal maskot itu apabila buktinya diragui oleh netizen.

Ciapan anak pelukis ikon dan maskot VM2026 sebagai respon kepada dakwaan pengguna media sosial yang mempersoalkan keaslian karya bapanya.

Terdahulu, maskot beruang matahari diperkenalkan oleh Tourism Malaysia bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 itu meraih pujian kerana rekaannya yang sangat menarik tumpuan ramai tanpa mengira peringkat umur.

Orang ramai juga tidak sabar mahu mendapatkan produk cenderamata yang bakal dihasilkan menggunakan rekaan ikon beruang matahari Malaya berkenaan sekiranya dijual sempena kempen VM2026.

Sekadar info, beruang matahari dipilih sebagai ikon dan maskot bagi kempen VM2026 kerana ia merupakan spesis beruang terkecil di dunia dan asli di kawasan tropika Asia Tenggara termasuklah Malaysia.

Logo tersebut melambangkan budaya Malaysia yang kaya dengan keindahan semula jadi dan daya tarikan global, menjadi simbol visual kesediaan negara untuk menyambut pelancong dari seluruh dunia.

Majlis Pelancaran VM2026 yang berlangsung di Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines Berhad (MAB), Isnin lalu itu turut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Baca juga: Walau ada masalah pembelajaran, anak Achey mampu dapat 6A dalam peperiksaan