Bukan biasa-biasa, kelab bola sepak di Iran nak bayar RM1.3 juta untuk pinjam Arif Aiman

Oleh KIM SYAZIE

Desas desus mendakwa bintang bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi akan beralih ke kelab bola sepak di Iran, nampaknya semakin jelas.

Menurut Harian Metro, terdapat sekurang-kurangnya tiga kelab terkemuka yang berminat untuk membawa Arif Aiman beraksi dalam saingan Liga Persian Gulf Pro.

Salah satu daripada kelab terbabit menawarkan nilai kontrak secara pinjaman yang cukup lumayan iaitu sekitar AS$300,000 atau bersamaan RM1.3 juta untuk tempoh pinjaman selama enam bulan.

Menurut sumber portal tersebut, tiga kelab Iran amat berminat dengan Arif dan ada yang menawarkan lebih tinggi daripada jumlah tersebut.

“Tawaran bukan biasa-biasa. Ada satu kelab itu tawarkan AS$300,000, kalau duit kita satu juta lebih. Tapi ada kelab lain juga tawar lebih tinggi.

“Tapi bukan senang nak bawa Arif Aiman kerana ia perlu mendapat persetujuan pihak kelab (JDT),” kata sumber itu seperti dilapor.

Sebelum ini, kecoh di laman sosial apabila mengaitkan nama Arif Aiman dengan kelab Iran, Persepolis.

Selain Persepolis, sebuah lagi kelab iaitu Tractor FC yang kini sedang menduduki tangga pertama saingan Liga Persian Gulf Pro turut dikaitkan dengan pemain sayap skuad Harimau Malaya itu.

Baca juga: Tak kisah dilabel jahat, Hana tak akan lupa ‘sahabat’ yang buat dirinya muflis