Siapa sangka, sepasang suami isteri dari selatan tanah air sanggup menunggang motosikal ke Kuala Lumpur pada waktu malam demi mendapatkan bantuan laptop atau komputer riba.
Difahamkan, komputer berkenaan diperlukan oleh si isteri yang membuat keputusan untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dengan tujuan mengubah nasib keluarganya.
Kisah perjuangan pasangan suami isteri berusia di dalam lingkungan 30-an itu dikongsikan oleh seorang usahawan yang menawarkan bantuan komputer riba dan juga servis pembaikan peralatan elektrik tersebut.
“Sepasang suami isteri. Datang naik motosikal. Bukannya dekat, dari selatan tanah air. Anak pula mereka tinggalkan kepada mak ayah sekejap. Demi sebuah laptop, mereka bertolak dari waktu tengah malam.
“Awal pagi Sabtu baru sampai sebab ada baca yang saya hanya ada di kedai hari Jumaat dan waktu selepas Subuh pada hari minggu. Saya minta mereka duduk dahulu. Si suami tanya jika isterinya layak dapat bantuan laptop.
“Kata suami, ‘Isteri sahaja yang pandai belajar ini. Saya tak pandai. Itu yang saya berikan dia peluang untuk sambung belajar’. Allahuakbar. Saya pandang pasangan ini, sayu betul,” kata pemilik perniagaan komputer itu.
Difahamkan, suami terbabit meraih pendapatan bulanan sebanyak RM1,500 manakala isterinya pula mengambil upah mengasuh dengan bayaran RM500 setiap bulan selain menjadi ejen jualan penapis air secara sambilan.
Kejadian itu diceritakan menerusi satu tular hantaran di platform Facebook milik usahawan terbabit yang turut memaklumkan bahawa pasangan suami isteri berkenaan layak mendapatkan bantuan komputer riba.
“Suami kerja biasa. Jadi, isteri yang tawarkan diri sambung belajar. Nanti boleh dapat pekerjaan yang lebih baik bagi menampung keluarga bersama. Saya cakap yang mereka tak perlu datang jauh-jauh sebenarnya. Naik motor lagi.
“Boleh Whatsapp atau hantar pesanan secara terus (DM). Insya-Allah, jika lapang saya balas dan bantu usahakan satu laptop. Kata suami, ‘Alhamdulillah. Isteri saya dapat ya? Saya ada sedikit duit ini, nanti saya bayar lagi’.
“Saya tolak dengan baik. Setakat ini, Alhamdulillah. Kalau ada lebihan dari sumbangan buat #bantubaiki, terus saya siapkan untuk #bantuanlaptop. Suami ini peluk isterinya. Pesan belajar elok-elok. Dia akan selalu sokong isterinya. Sayu rasanya,” kongsinya lagi.
Menurut usahawan terbabit, kejadian seperti itulah yang menyebabkannya membuka pintu bantuan buat mereka memerlukan dari segi sumbangan barangan komputer dan meneruskannya meskipun kosnya agak tinggi.
Baca juga: Kanak-kanak 7 tahun maut didera, ibu dan kekasih ditahan