Masih ada nilai empati dalam sistem kehakiman negara apatah lagi selepas melihat hukuman diberikan tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan.
Seorang duda ditahan dan dihukum penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah mencuri setandan pisang pada Rabu lalu.
Tertuduh ditahan selepas mangsa berusia 56 tahun membuat laporan polis sebaik melihat kelibat lelaki itu menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kebunnya.
Sebelum tangkapan dibuat, pengadu sedar pisang jenis ‘rastali’ yang ditanam di kebunnya itu kerap hilang dicuri individu tidak dikenali.
Bagaimanapun Mahkamah Tinggi Muar membuat keputusan untuk ini mengetepikan hukuman penjara tiga bulan yang dikenakan terhadap tertuduh lapor Berita Harian.
Hakim, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid sebaliknya menggantikan hukuman itu dengan penjara 10 hari bermula dari tarikh ditahan, 4 Januari.
Dalam penghakiman ringkas, Meor Hashimi berkata, penjara tiga bulan yang dikenakan terhadap tertuduh, Muhammad Fadil Ismail oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat adalah terlalu berat.
“Mahkamah percaya keputusan dibuat oleh majistret tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan tertuduh.
“Justeru, mahkamah memutuskan hukuman itu (penjara tiga bulan ) diketepikan dengan tertuduh dipenjara 10 hari bermula tarikh ditangkap,” hujahnya dalam prosing semakan kehakiman.
Dengan keputusan dibuat oleh Mahkamah Tinggi, tertuduh yang berumur 35 tahun itu sudah dibebaskan semalam.
Pada prosiding itu, pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asmah Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Semakan kehakiman itu dibuat mengikut Seksyen 323 dan 325 Kanun Prosedur Jenayah.
Baca juga: Kanak-kanak 7 tahun maut didera, ibu dan kekasih ditahan