Dari pekebun kepada bos besar, ini kisah bagaimana pengasas Mixue boleh kalahkan jenama Starbucks

Oleh KIM SYAZIE

Jenama Mixue iaitu sebuah perusahaan berasaskan ais krim sebagai produk utamanya dan minuman berunsurkan teh, mula melebarkan empayar di serata dunia.

Untuk mereka yang tidak tahu, Mixue adalah cawangan dari China yang diasaskan Zhang Hongchao yang berasal dari Henan dan lahir pada tahun 1978.

Keluarganya bukanlah orang senang, dia pernah bekerja sebagai pekebun dan pekerja bengkel motor.

Menurut perkongsian seorang pengguna X, perniagaan Zhang bermula apabila dia meminjam duit daripada neneknya kerana tidak mampu membayar yuran pengajian.

Neneknya memberikan pinjaman kepadanya sebanyak 3,000 RMB (RM1,800), di mana duit itu dia gunakan untuk membuat perniagaan kecil iaitu warung ais kepal.

Dengan kebolehannya, dia membina sendiri mesin ais parut tersebut. Pada waktu dia hanya mempunyai mesin pembeku, beberapa kerusi dan meja lipat sahaja.

Dia menjual menu ringkaa iaitu ais kepal, ais krim dan smoothies.

Namun begitu, langit tak selalu cerah, memandangkan dia tinggal di negara yang mempunyai musim salji, perniagaannya merundum seketika dan dia terpaksa membuat satu keputusan yang sukar dalam hidup iaitu tutup kedai.

Bagaimanapun, Zhang tidak patah semangat. Dia membina semula perniagaan baru pada tahun 1999 yang dikenali sebagai, Mixue Bingcheng yang membawa maksud ‘istana salji’.

Pun begitu, perjalanannya tidak begitu lancar apabila China mengalami pembangunan pesat dan banyak kawasan telah dirobohkan untuk pembangunan baharu.

Dia tidak begitu bernasib baik kerana di mana sahaja dia membuka kedainya, bangunan itu terpaksa dirobohkan.

Dia terpaksa berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Pada masa yang sama, Zhang juga bertindak dengan menjual aiskrim berkualiti tinggi pada harga yang mampu milik untuk semua orang.

Dia menetapkan harganya pada hanya 1 RMB (70 sen) apabila yang lain dijual pada harga 10 RMB (RM 6.70). Biarpun ia satu langkah yang agak berisiko, ia membuahkan hasil.

Dari situ pelanggan mula beratur panjang dan perniagaannya mula berkembang serta mula membuka cawangan di tempat lain.

Pada tahun 2018, Mixue telah meluaskan empayarnya di Asia Tenggara iaitu di Vietnam. Pada tahun 2022, Mixue mula memperluaskan cawangan mereka ke Malaysia.

Antara yang menjadi tarikan adalah jus lemon dijual dengan harga RM3, teh susu dijual dengan harga RM6 dan aiskrim dijual dengan harga RM2.

Menurut sumber, yuran royalti francais dicaj bermula dari RM14,000/tahun sahaja manakala cawangan minuman yang lain mengenakan bayaran 10 kali ganda.

Sekarang ini, Mixue telah menjadi rangkaian F&B terbesar di dunia mengikut bilangan kedai.

Berdasarkan perkongsian sumber, data terkini menunjukkan terdapat 45,302 kedai Mixue setakat 30 September 2024 ia telah menandingi restoran makanan segera terkemuka yang mempunyai 43,000 cawangan dan kedai kopi terkenal yang berjumlah 40,199 cawangan.

Baca juga: Baru tahu ada petua nak elak Kuih Sagu Merah jadi lembik, jernih elok kalau ikut panduan Opah ini