Baru-baru ini tular satu tangkap layar memaparkan komen seorang pemandu pelancong yang meninggalkan ‘bad review’ ataupun ulasan buruk kepada sebuah kedai menjual durian di Melaka.
Menurut pemandu pelancong berkenaan, pemilik kedai tersebut merupakan seorang yang kedekut kerana tidak mahu memberikan sebarang komisen selepas membawa pengunjung ke premis itu.
Tindakan pemilik kedai tersebut membuatkan pemandu pelancong berkenaan tidak mahu lagi membawa orang ramai berkunjung ke premis itu sebaliknya memilih lokasi lain yang memberikan komisen sebanyak 20 peratus.
Gambar tangkap layar itu dikongsikan oleh pemilik kedai durian tersebut di laman Facebook namun yang mencuri perhatian orang ramai adalah cara pengusaha berkenaan membalas komen pemandu pelancong berkenaan.
Menurut pemilik kedai itu, pemberian komisen kepada pemandu pelancong bukanlah amalan mereka berikutan premis tersebut tidak menetapkan harga yang berbeza kepada rakyat tempatan mahupun orang luar.
Penetapan harga sebegitu membuatkan premis tersebut tidak memperoleh margin keuntungan yang tinggi sekali gus tidak dapat memberikan komisen selain mengakui ‘takut dosa’ jika mengenakan caj terlalu mahal.
“Encik, kedai durian ini mengamalkan penetapan harga yang sama bagi orang tempatan dan pelancong. Jika mahu komisen 20 peratus, minta maaf (tak dapat berikan) kerana margin kami tidak setinggi begitu.
“Kedai saya, orang mana-mana datang pun kami tetaplah berikan harga yang sama. Tiada ‘mark-up’ (tokokan atau menambah harga). Takut dosa,” kata pemilik kedai durian itu dalam hantaran di platform Facebook.

Tular di media sosial, tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna kagum dengan sikap pengusaha terbabit yang jujur dan tidak memilih kasih dalam menentukan harga durian jualannya.
Ramai juga pengguna tampil mempersoalkan tindakan pemandu pelancong terbabit yang disifatkan tidak ikhlas dalam melakukan pekerjaan sebaliknya menginginkan balasan dengan mengambil keuntungan ‘atas angin’.
“Berhenti kerja sebagai pemandu pelancong, kemudian jadi pengusaha durian. Selepas itu berikanlah orang lain komisen 20 peratus. Baru tahu perasaan peniaga, boleh berikan atau tidak,” kata seorang pengguna.
“Pemilik beritahu kalau ada bas datang memang mereka ada belanja makan durian kepada pemandu. Tetapi orang ini minta 20 peratus komisen atas angin. Banyak cantik. Promosi tauke buat, bas singgah sebab tular. Bawa satu bas pelancong, nak komisen. Ewah-ewah.” Kesal pengguna lain.
Baca juga: PM buat tindakan tepat seru percepat pembangunan semula Gaza