Sudah lama tinggalkan dunia seni, Raja Dangdut kini aktif berdakwah, dapat tauliah JAIS

Oleh MALAYSIADATELINE

Meskipun sudah lama meninggalkan dunia seni, nama Iwan Syahman masih diingati sebagai Iwan Dangdut.

Sudah 14 tahun berhijrah, Iwan kini lebih aktif berdakwah, bukan setakat itu dia juga kini mengajar ilmu agama.

Jelasnya, dia memiliki pentauliahan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk berdakwah dan mengajar di Selangor lapor Harian Metro.

“Saya memang ada dapat (tauliah) dan ia untuk (berdakwah dan mengajar agama) di Selangor saja. Alhamdulillah, Allah berikan rezeki itu buat saya.

“Apa yang saya lakukan adalah untuk sebarkan ilmu agama dengan berdakwah dan mengajar sebagai jihad ikhlas ke jalan Allah dan bekalan saya di akhirat nanti.

“Cuma, untuk tauliah di negeri-negeri lain ada juga saya mohon, tetapi masih dalam proses (kelulusan). Apapun, ini semua adalah rezeki daripada Allah,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Komposer juga penyanyi lagu kerohanian itu mengakui senang hati apabila melihat selebriti lelaki semakin banyak menyertai tabligh.

“Alhamdulillah, saya juga gembira melihat semakin ramai artis lelaki yang menyertai tabligh sekali gus mendekatkan diri mereka kepada agama, termasuk keluar berdakwah dengan bermusafir.

“Antaranya Faizal Ismail, Ijam (Medicine), Ali (XPDC) dan ramai lagi yang sudah keluar bermusafir menyebarkan ilmu agama bersama tabligh selama empat bulan di dalam dan luar negara,” tambahnya.

Baca juga: Guna modal RM5k dari nenek untuk melabur bitcoin, budak 12 tahun miliki kekayaan lebih RM9 juta