Dipaksa buat projek tanpa bayaran, Naqiu nekad hantar LOD, rugi hampir RM100k

Oleh MAISARAH AISYA

Penipu zaman sekarang sudah mula melibatkan artis meskipun sedar selebriti ini mempunyai pengikut yang ramai.

Sudah banyak kali beri peluang, kini penyanyi Naqiu nekad ambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didakwa menipunya.

Bukan setakat itu, Naqium juga mengalami kerugian hampir RM100,000 dan telah menghantar notis tuntutan (LOD) melalui peguamnya lapor Kosmo! Online.

“Pada awalnya saya cuba elakkan isu ini daripada menjadi besar tetapi apabila saya berdiam diri, individu tersebut semakin berani memanipulasi keadaan.

“Mungkin dia fikir saya tidak akan bertindak, jadi saya rasa sekarang masanya untuk bertegas,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Berkongsi dengan lebih lanjut, Naqiu mendakwa individu itu banyak mengambil kesempatan termasuklah melakukan beberapa projek tanpa bayaran.

“Individu ini bukan sahaja meminta saya buat lagu tanpa bayaran, malah memaksa saya membuat video promosi jenama yang tidak pernah saya persetujui.

“Saya dah lama bersabar tetapi apa yang dilakukan kali ini melampaui batas. Dia juga cuba memburukkan nama saya dalam kalangan orang industri dan mencabar saya secara terbuka,” ujarnya.

Malah individu tersebut juga mendakwa dirinya dipaksa merakam single sedangkan sudah membuat bayaran penuh walhal Naqiu tidak pernah menerima satu sen pun.

“Saya diperkenalkan kepadanya oleh salah seorang ahli pasukan saya. Dia beritahu mahu hasilkan lagu walaupun tidak berbakat.

“Ketika projek masih dalam peringkat demo, dia mendakwa saya memaksanya merakamkan single itu. Lebih teruk lagi, dia kata sudah buat bayaran penuh sedangkan satu sen pun saya tidak terima.

“Logikkah saya nak paksa orang yang tidak berbakat menyanyikan lagu saya sedangkan duit pun saya tak dapat?” soalnya.

Baca juga: Opai anggap beli kasut harga RM38,000 adalah momen terindah, tetapi hanya pakai 2 kali sebab ini