Ramai yang cepat terpedaya dengan keuntungan berlipat kali ganda meskipun tahu perkara tersebut adalah mustahil.
Namun masih ramai gagal memahami ia dek kerana tergugat dengan tawaran pulangan dijanjikan.
Disebabkan ‘tergoda’ dengan keuntungan hampir 70 peratus, seorang bekas pengurus syarikat swasta kerugian RM2.05 juta lapor Harian Metro.
Penipuan tersebut adalah melibatkan pelaburan kripto yang diiklankan di laman sosial Facebook pada pertengahan Oktober tahun lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan penipuan itu diterima Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor di daerah ini mengenai pelaburan tidak wujud.
Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa telah dimasukkan ke sebuah kumpulan aplikasi WhatApps.
Mangsa berusia 59 tahun itu kemudian ditawarkan pelan pelaburan kripto dengan keuntungan antara 30 hingga 70 peratus dalam tempoh singkat.
“Mangsa telah diarahkan untuk membuat pelaburan melalui sebuah laman web dengan diyakinkan mendapat keuntungan sebanyak RM46 juta di platform itu.
“Sebanyak 41 transaksi berjumlah RM2.05 juta dilakukan mangsa kepada sebelas akaun bank berbeza bermula 29 Oktober tahun lepas hingga 18 Januari lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa akhirnya sedar dirinya ditipu apabila mahu membuat pengeluaran wang keuntungan pelaburan namun diminta buat pelbagi jenis bayaran lain.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Baca juga: Gaji RM1.7k mampu bersara dengan simpanan KWSP cecah RM1 juta? Ini penjelasannya