Moody’s Ratings iaitu sebuah agensi penarafan antarabangsa menjangkakan Malaysia akan menjadi ekonomi berpenarafan A yang paling pesat berkembang dalam tempoh dua tahun akan datang.
Agensi itu dalam tinjauannya mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada ‘A3’ dengan tinjauan ‘Stabil’, selain mengakui prospek pertumbuhan jangka sederhana Malaysia yang memberangsangkan.
Pengesahan itu mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi.
Dalam satu respon balas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengesahan penarafan oleh Moody’s merupakan pengiktirafan ke atas usaha berterusan Kerajaan MADANI.
Kerajaan dalam tempoh dua tahun ini telah memacu perubahan struktur, berpandukan hala tuju dasar yang jelas dan komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada piawaian tatakelola yang tinggi.
Beliau berkata tahun ini, Kerajaan MADANI akan memesatkan pembaharuan fiskal dan ekonomi seperti yang ditetapkan dalam Belanjawan 2025.
Dalam pada itu, Kerajaan MADANI juga akan memberi keutamaan kepada pelaburan berkualiti untuk mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi serta mempercepat pembangunan infrastruktur bersepadu bagi menyokong kepelbagaian ekonomi dan peluang baharu, kata beliau.
“Kerajaan juga akan mengambil kesempatan selaku Pengerusi ASEAN 2025 untuk menerajui blok ekonomi ini ke arah ketertiban ekonomi bersepadu yang sentiasa bekerjasama dan menggalakkan keberhasilan yang saling menguntungkan rantau ini,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Moody’s, kekuatan struktur kredit negara mengambil kira antaranya kepelbagaian struktur ekonomi, daya saing dan kestabilan harga sebagai faktor yang menggalakkan perbelanjaan penggunaan, disokong oleh kekukuhan pasaran modal domestik dan sistem kewangan yang sofistikated.
Moody’s turut mengiktiraf keutuhan sokongan politik yang telah memberi ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan struktur dan institusi yang signifikan termasuk penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 serta perundangan lain.
Perdana Menteri berkata dalam hal ini, kerajaan terus komited untuk menambah baik kewangan awam dengan memperkasakan usaha dalam meningkatkan hasil dan rasionalisasi subsidi.
Baca juga: Ini pesanan peguam buat bapa culas nafkah – “Sudah ada perintah Allah sebelum perintah mahkamah”