Seorang wanita pertengahan usia didakwa telah mencuri beg tangan berisi wang tunai di dalam sebuah kediaman terletak di Pasir Mas, Kelantan yang menjadi lokasi majlis kenduri.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika majlis berlangsung di mana wanita berkenaan kononnya menyamar menjadi tetamu kenduri sebelum meminta izin masuk ke dalam rumah untuk menumpang bilik air.
Namun ketika berjalan menuju ke bilik air, wanita terbabit ternampak sebuah beg tangan berwarna putih diletakkan di atas sebuah almari dan bertindak mengambilnya selepas memastikan gerak-gerinya tidak diperhatikan.
Beg tersebut kemudian dipercayai disorokkan dalam tas tangan milik wanita itu yang telah dibawa lebih awal sebelum meninggalkan kediaman tersebut di dalam keadaan tergesa-gesa.
Kegiatan wanita itu bagaimanapun terbongkar berikutan setiap tindak-tanduknya di kediaman berkenaan terakam dalam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang oleh tuan rumah.
Rakaman CCTV tersebut kemudian disebarkan di pelbagai platform media sosial termasuklah menerusi akaun TikTok @malayansecretsociety dalam usaha mengesan pelaku yang mencuri beg terbabit.
Menurut keterangan yang dikongsikan menerusi rakaman tersebut, kejadian berlaku di Kampung Tasek Berangan, Pasir Mas dengan melibatkan kerugian wang tunai dalam beg tangan berjumlah RM2,500.
“Wanita dikehendaki kerana telah mencuri semasa majlis kenduri berlangsung. Mohon sebar dan kongsikan semula video ini. Pelaku menyamar sebagai tetamu untuk menumpang tandas.
“Kemudian melarikan wang ringgit sebanyak RM2,500. Kejadian berlaku pada 1 Februari lalu sekitar pukul 12.40 tengah hari,” tulis keterangan video yang kini sudah meraih mencecah sejuta tontonan dari pengguna TikTok.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna kesal dengan tindakan pelaku selain memberikan cadangan sekiranya mahu mengelakkan kejadian sama berlaku lagi.
Ramai juga pelayar TikTok tampil memuji tindakan tuan rumah berkenaan kerana telah memasang CCTV sekali gus menghilangkan syak wasangka dalam kalangan ahli keluarga mengenai kehilangan beg tangan itu.
“Mujur ada rakaman CCTV. Kalau tak boleh dituduh habis adik-beradik. Masa kenduri inilah memang senang orang macam itu buat kerja jahat sebab kita sedang sibuk,” kesal seorang pengguna.
“Ketika majlis saya dahulu, sudah beritahu keluarga untuk kumpul semua barang berharga dan duit hantaran dalam satu bilik. Kemudian kunci. Habis majlis nanti baru buka. Jangan letak dalam bilik utama atau ruang pengantin.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Lelaki OKU dipukul buka cerita sebenar, dakwa motor kena tendang sebelum langgar gerai mi