Baru tahu masyarakat Cina di Kelantan amal budaya hidup sebiji macam Melayu tapi tetap Cina

Oleh KIM SYAZIE

Kalau cakap pasal Cina Kelantan, mesti ramai akan ingat Mekyun dan penyanyi lagu viral Apa Salah Aku Kelate, Dennis.

Persoalannya, bagaimana orang Cina Kelantan ini boleh bertutur loghat Kelantan dengan begitu fasih?

Jawapannya terletak pada sejarah panjang hubungan antara masyarakat Cina dan Melayu di Kelantan yang penuh dengan kisah interaksi budaya, perkahwinan campur dan asimilasi.

[Proses Asimilasi: Perkahwinan Campur dan Kehidupan Bersama]

Hubungan rapat antara masyarakat Cina dan penduduk tempatan di Kelantan tidak berlaku dengan segera.

Ia bermula dengan interaksi harian di pasar, ladang dan kawasan perkampungan.

Namun, faktor yang paling penting dalam proses asimilasi ini adalah perkahwinan campur.

Kebanyakan perkahwinan campur berlaku antara lelaki Cina dan wanita Siam kerana agama Buddha yang dianuti oleh kedua-dua pihak memudahkan hubungan mereka.

Anak-anak hasil perkahwinan ini dikenali sebagai Jin-Sayam atau Cina-Siam. Mereka membesar dalam budaya yang mencampurkan elemen Cina, Siam dan Melayu termasuk loghat Kelantan.

Perkahwinan antara lelaki Cina dan wanita Melayu pula jarang berlaku kerana perbezaan agama.

Namun, apa yang berlaku, lelaki Cina yang berkahwin dengan wanita Melayu akan memeluk Islam dan mengamalkan budaya Melayu sepenuhnya.

Anak-anak hasil perkahwinan ini biasanya lebih dikenali sebagai Melayu.

Proses perkahwinan campur ini akhirnya membawa kepada pembentukan komuniti unik yang dikenali sebagai Cina Peranakan Kelantan.

Mereka mengadaptasi budaya Melayu, termasuk bahasa, pakaian dan makanan sambil mengekalkan elemen tradisi Cina seperti dialek Hokkien.

[Budaya Hidup: ‘Sebijik’ Melayu, Tapi Tetap Cina]

Selain bahasa, budaya hidup masyarakat Cina Kelantan juga ada pengaruh Melayu yang ketara.

Lelaki Cina Kelantan selalu pakai kain pelikat atau kain batik, manakala wanita pula memakai kain batik lepas atau baju kurung.

Apabila berada di rumah, mereka kerap tidak berbaju, sama seperti kebiasaan tradisi lelaki Melayu kampung.

Dari segi makanan, nasi kerabu, gulai dan budu menjadi sebahagian daripada diet mereka.

Walaupun mereka berketurunan Cina, selera mereka terhadap masakan berempah, pedas dan bersantan mencerminkan pengaruh budaya Melayu.

Mereka juga mahir membuat kuih tradisional Melayu seperti tapai, ketupat dan dodol.

[Nama dan Identiti: Gabungan Dua Budaya]

Nama-nama masyarakat Cina Kelantan juga menunjukkan pengaruh budaya Melayu.

Contohnya, nama-nama seperti Mek Bunga dan Awang Lee adalah hasil gabungan nama Cina dan Melayu.

Nama seperti ini memudahkan mereka berinteraksi dengan masyarakat Melayu setempat sambil mengekalkan nama keluarga Cina mereka.

[Cina Kampung vs. Cina Bandar]

Masyarakat Cina di Kelantan boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Cina Kampung dan Cina Bandar.

Cina Kampung ialah komuniti yang telah lama wujud di kawasan pedalaman, biasanya terlibat dalam pertanian.

Sebaliknya, Cina Bandar ialah komuniti yang berhijrah pada abad ke-20 semasa era penjajahan British dan lebih terlibat dalam perniagaan di bandar.

Kisah masyarakat Cina Kelantan adalah contoh terbaik bagaimana dua budaya yang berbeza boleh bergabung secara harmoni.

Loghat Kelantan yang mereka gunakan bukan sahaja mencerminkan keakraban dengan budaya tempatan, tetapi juga simbol kekayaan warisan budaya negeri ini.

Artikel asal: Azizul Farhan yang merupakan penulis cerita sejarah dan geopolitik

Baca juga: Bagi anak tidur dengan ‘teddy bear’ sebagai peneman, ramai masih tak tahu hukumnya…