Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump hari ini mengumumkan untuk menangguhkan tarif ke atas Mexico dan Kanada selepas berbincang dengan pemimpin kedua-dua negara pada Isnin. Keputusan ini dibuat selepas hanya beberapa jam sebelum langkah itu dijadualkan berkuat kuasa.
Minggu lalu selepas beberapa hari sahaja Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat, Trump mencadangkan tarif termasuk duti sebanyak 25 peratus ke atas semua import dari Mexico dan kebanyakan import dari Kanada (dengan pengecualian tarif 10 peratus ke atas produk tenaga), serta tarif baharu sebanyak 10 peratus ke atas barangan China.
Trump menangguhkan tarif ke atas negara jiran AS selepas Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum dan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, bersetuju untuk meningkatkan kawalan di sempadan mereka dengan Amerika Syarikat.
“Saya baru sahaja bercakap dengan Presiden Claudia Sheinbaum dari Mexico. Ia adalah perbualan yang sangat mesra di mana beliau bersetuju untuk segera menghantar 10,000 tentera Mexico ke sempadan antara Mexico dan Amerika Syarikat,” tulis Trump di Truth Social.
“Anggota tentera ini akan ditugaskan khusus untuk menghentikan aliran fentanyl dan pendatang tanpa izin ke negara kita,” katanya lagi.
Trump kemudian mengumumkan perkara yang sama mengenai Kanada selepas Trudeau terlebih dahulu mengumumkan penangguhan tarif selama 30 hari.
“Kanada telah bersetuju untuk memastikan keselamatan sempadan utara kita dan akhirnya menghentikan ancaman maut dadah seperti Fentanyl yang telah mengalir masuk ke negara kita, membunuh ratusan ribu rakyat Amerika serta memusnahkan keluarga dan komuniti di seluruh negara,” kata Trump lagi.
baca: Elon Musk mengawal Twitter bertindak pecat CEO, dan 2 eksekutif lain