Hati isteri manakah tidak hancur berkecai apabila rumah tangganya kini retak menanti belah angkara kehadiran seorang selebriti berpenampilan muslimah yang sudah dianggapnya seperti keluarga sendiri.
Menurut sang isteri, keharmonian rumah tangganya mula terusik selepas diganggu oleh selebriti itu sejak dua tahun lalu selepas wanita berpenampilan muslimah berkenaan menjadi pelanggan perniagaannya bersama suami.
Hubungannya dengan selebriti terbabit mula rapat sejak itu sehingga telah menganggapnya sebagai ahli keluarga sendiri namun siapa sangka di dalam diam-diam, wanita berkenaan telah berjaya menakluk hati suaminya.
Sang isteri yang hanya mahu dikenali sebagai Y itu akhirnya mengambil keputusan untuk membuat satu pendedahan secara eksklusif bersama portal Gempak dalam usaha menyelamatkan rumah tangganya.
“Kami suami isteri mulanya berkenalan dengan selebriti wanita itu apabila dia menjadi pelanggan perniagaan kami. Selepas itu, saya dan dia mula rapat sehingga sudah menganggapnya sebagai keluarga sendiri.
“Dia sering datang ke rumah tetapi saya tidak mengesyaki sebarang perkara yang mencurigakan disebabkan imej muslimah dan sikap lemah lembut yang dibawa. Dia turut membawa anaknya bermain dengan anak kami di rumah.
“Sehinggalah saya rasakan ada sesuatu yang pelik kerana interaksi dan bahasa tubuh selebriti itu dengan suami saya sangat berbeza,” dakwa isteri itu dalam pendedahan tersebut memetik laporan Gempak.
Kecurigaan sang isteri mula terbukti apabila Y secara tidak sengaja membaca pesanan mesej yang berbaur mesra di platform media sosial antara suaminya dengan selebriti muslimah terbabit.
Nekad bersemuka dengan orang ketiga di dalam rumah tangganya, Y mendakwa selebriti itu malah bertindak memusing cerita dan menggunakan alasan agama agar dirinya diterima sebagai madu.
“Alangkah terkejutnya saya apabila terbaca mesej mesra mereka itu. Selebriti yang saya anggap sebagai keluarga. Orang yang saya sangka baik dan berpenampilan suci murni itu memanggil suami dengan panggilan manja.
“Rupanya dia sudah lama mahu mendekati suami saya dan mereka telah menjalinkan hubungan istimewa selama hampir dua tahun. Saya sudah bersemuka dengan selebriti itu namun dia pusing cerita.
“Dia turut menggunakan alasan agama dan mahu saya menerimanya sebagai madu. Saya sangat kesal kerana telah melayannya seperti keluarga namun akhirnya dia tikam belakang saya,” kesal isteri terbabit.
Lebih memburukkan keadaan, suaminya juga memujuk untuk berbincang masalah ini bertiga termasuk selebriti muslimah berkenaan seperti memberi bayangan untuk mereka berpoligami.
Walaupun sang isteri sudah tidak bersetuju dengan lebih awal untuk berpoligami, namun selebriti terbabit masih berusaha untuk mengubah pandangannya agar dapat diterima sebagai isteri kedua.
“Dia menghantar petikan hadis dan juga ayat-ayat Islamik berkenaan poligami kepada saya. Suami juga memujuk agar kami duduk bertiga dan berbincang mengenai perkara ini sedangkan saya memang tak bersetuju sejak awal.
“Perkara ini buatkan rumah tangga kami goyah. Tujuan saya tampil mendedahkan perkara ini kerana mahu menyelamatkan rumah tangga dengan suami. Saya tak mahu bermadu dan mahu mengekalkan keharmonian perkahwinan.
“Jika selebriti itu masih berdegil, saya tidak teragak-agak untuk mendedahkan identiti dirinya. Berserta dengan bukti dia mengganggu rumah tangga saya,” ujarnya dengan tegas dalam perkongsian tersebut.
Dalam pada itu, selebriti wanita berstatus muslimah yang dimaksudkan oleh sang isteri terbabit difahamkan pernah didakwa menghancurkan dua rumah tangga lain sebelum ini.
Baca juga: Majikan saje-saje ‘check’ telefon bibik, sekali tersentak tengok galeri penuh gambar anak…