Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi menegaskan komitmennya untuk memiliki dan ‘membeli’ Gaza dan mungkin menyerahkan pembangunan semula sebahagian wilayah itu kepada negara lain di Asia Barat.
Trump memaklumkan bahawa pembangunan semula itu akan dilakukan di bawah pengawasan AS selain turut mengatakan ‘tiada apa yang boleh kembali ke sana’ yang mungkin membawa maksud kepada penduduk Gaza.
Pemimpin itu bagaimanapun terbuka terhadap kemungkinan membenarkan sebahagian pelarian Palestin memasuki AS tetapi akan mempertimbangkan permohonan berdasarkan kes, lapor Berita Harian.
“Saya komited untuk membeli dan memiliki Gaza. Mengenai usaha membangunkannya semula, kami mungkin menyerahkannya kepada negara lain di Asia Barat untuk membina bahagian tertentu.
“Atau pihak lain juga boleh melakukannya di bawah pengawasan kami. Bagaimanapun, kami komited untuk memilikinya, mengambilnya dan memastikan Hamas tidak kembali.
“Tiada apa yang boleh kembali ke sana. Tempat itu adalah tapak runtuhan. Bakinya akan dirobohkan. Semuanya sudah musnah,” kata pemimpin berkenaan memetik laporan Berita Harian.
Trump berkata sedemikian kepada pihak media ketika berada di atas pesawat Air Force One sewaktu di dalam perjalanan ke New Orleans untuk menghadiri perlawanan Super Bowl.
Selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden untuk penggal kedua pada 20 Januari lalu, Trump mengemukakan idea untuk AS mengambil alih Gaza dan melaksanakan usaha pembinaan semula secara besar-besaran.
Namun kenyataan dikeluarkan oleh Trump itu tidak menyentuh dengan jelas mengenai masa depan penduduk Palestin yang terpaksa berhadapan dengan peperangan oleh Israel sejak Oktober 2023.
Malah sehingga kini, masih tidak dapat dipastikan di bawah kuasa apakah yang akan membenarkan AS mengambil alih wilayah Gaza tanpa menyalahi sebarang undang-undang.
Dalam pada itu, Trump dikatakan mungkin akan bertemu dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi dan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman namun tarikh pertemuan tersebut tidak didedahkan.
Kebanyakkan pemimpin dunia lain termasuk daripada Arab Saudi sebelum ini secara tegas menolak rancangan Trump mengenai Gaza terutama mengenai penempatan semula penduduk Palestin.
Raja Jordan, Raja Abdullah, dijangka memberitahu Trump dalam pertemuan mereka yang dijadualkan berlangsung pada 11 Februari ini di Washington bahawa cadangan itu hanya akan menyemarakkan radikalisme.
Rancangan yang dibangkitkan oleh Trump itu juga boleh mencetuskan kekacauan di Asia Barat dan sekali gus memiliki kemungkinan besar untuk menjejaskan keamanan negaranya dengan Israel.
Baca juga: Kenapa Finland negara terbaik di dunia ? Ini 6 sebabnya