Seorang wanita yang sebelum ini tular kerana memukul dan mencederakan anaknya di hadapan sebuah pasar raya di Arau, Perlis dilaporkan direman selama enam hari sehingga Ahad ini.
Perintah reman ke atas wanita berusia 38 tahun terbabit dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor selepas suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Kangar kira-kira pada pukul 9.33 pagi tadi.
Difahamkan, suspek yang bekerja sebagai pekerja kantin itu ditahan oleh pihak polis sebelum ini di sebuah bilik sewa dalam kediaman terletak di Mata Ayer sekitar jam 11.30 malam, semalam.
Penahanan itu dilakukan susulan penularan satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang didakwa menunjukkan suspek memukul anaknya beberapa kali hingga tercedera akibat terhantuk bucu bangku selepas jatuh tersungkur.
Ketua Polis Daerah Arau, Superitendan Ahmad Mohsin Md Rodi memaklumkan bahawa kejadian dipercayai berlaku di hadapan kaki lima sebuah pasar raya di Jejawi, Arau sekitar jam 8 malam, Ahad lalu, lapor Berita Harian.
“Kita kemudian menerima satu laporan daripada orang awam sekitar jam 12.16 pagi ini berhubung perlakuan wanita berkenaan dirakam oleh CCTV berhampiran pasar raya itu yang kemudiannya tular di media sosial sejak semalam.
“Dalam video tular itu memaparkan suspek memukul bahagian belakang kepala seorang kanak-kanak perempuan sehingga terhantuk di bucu bangku dan berdarah.
“Kejadian disyaki berlaku di hadapan kaki lima sebuah pasar raya di Jejawi, Arau dan suspek akan di bawa ke mahkamah untuk direman bagi membantu siasatan,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Menurut Ahmad Mohsin, anak suspek berusia lima tahun yang merupakan mangsa dalam kejadian itu mengalami luka di bahagian kening sebelah kanan dan sudah menerima rawatan susulan.
Selain mangsa, suspek juga mempunyai seorang lagi cahaya mata perempuan berusia dua tahun.
Dalam perkembangan terbaharu, kanak-kanak malang berkenaan dikatakan sudah diselamatkan oleh pihak bertanggungjawab dan ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.
Baca juga: Kanak-kanak jatuh tersungkur akibat dipukul, muka berdarah terhantuk bucu bangku