Plus dijangka mulakan ujian rintis untuk laksana sistem tol tanpa palang menjelang April

Oleh KIM SYAZIE

Beberapa syarikat konsesi lebuhraya kini dilaporkan telah mula ke arah membangunkan sistem tol tanpa palang mereka tersendiri, diterajui oleh PLUS Expressways Berhad.

Langkah ini dilihat dalam usaha mengelak berlaku salah guna dan eksploitasi keuntungan ketika pelaksanaannya

Portal Amanz melaporkan, PLUS kemungkinan akan memulakan ujian rintis untuk sistem tol tanpa palang mereka tersendiri menjelang April.

Buat masa ini, sistem akhir yang akan diguna-pakai masih tidak diketahui lagi.

Namun, untuk PLUS, mereka mempunyai kelebihan melalui anak syarikat mereka, Teras Teknologi Sdn Bhd yang kini menyediakan sistem pengumpulan tol elektronik untuk kebanyakkan syarikat konsesi lebuhraya.

Pada masa yang sama, syarikat konsesi ini turut bercadang boleh pautkan sistem mereka kelak dengan Jabatan Pengangkutan Jalan, sekaligus sekiranya seseorang pemandu mempunyai tol tertangguh yang tidak berbayar, mereka akan perlu menyelesaikannya terlebih dahulu sebelum dapat memperbaharui cukai jalan.

Untuk makluman juga, pihak Touch n Go Ewallet sendiri telah memulakan usaha menguji sebuah ciri baharu, membolehkan pengguna melalui tol walaupun baki rendah – dan perlu menyelesaikan bayaran tertangguh berkenaan dalam tempoh 24 jam selepas itu, dengan had sehingga RM80 dalam sehari.

Kerajaan sebelum ini menyasarkan pelaksanaan laluan tol tanpa palang bermula 2025 ini.

Namun, dengan pelbagai perkembangan terbaru ini, ia tidak diketahui sama ada kita akan melihat ia diimplementasi secara rasmi pada tahun ini, atau akan ditangguhkan.

Baca juga: Sesuka hati letak syarat pembelian, KPDN Kedah sita lebih 2,000kg minyak masak peket