Siapa sangka, wanita dikenali sebagai Ika yang didakwa menipu isteri pelawak, Along Cham iaitu Afreena Suhaimi memiliki lima rekod lampau berkaitan penipuan di empat negeri iaitu Selangor, Sabah, Negeri Sembilan dan Kedah.
Wanita itu kemudian didakwa sebentar tadi di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di atas pertuduhan menipu Afreena membabitkan kerugian berjumlah RM105,380 berhubung penahanan kes dadah suaminya.
Tertuduh, Nursyafiqah Hermansah yang bekerja sebagai peniaga itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi.
Mengikut pertuduhan, ibu tiga anak itu didakwa menipu Afreena dengan memperdaya mangsa untuk menjamin keluar dan menurunkan seksyen pertuduhan dikenakan ke atas Along berhubung kes dadah dihadapinya.
Tertuduh berusia 28 tahun itu telah mendorong Afreena membayar wang berjumlah RM105,380 kepadanya melalui 26 transaksi ke lima akaun bank berbeza yang mana mangsa tidak berbuat sebegitu jika tidak diperdayakan.
Perbuatan didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak di Bangi Gateway, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi, Selangor pada jam 6.06 petang, 22 Disember tahun lalu hingga jam 1.24 petang pada 14 Januari lalu, lapor Berita Harian.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan dengan sebatan serta boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Anis Farhah Ahmad Hilmi menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin, namun peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Tan Kim Kiek yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan.
Hal ini berikutan tertuduh yang bekerja sebagai peniaga itu memperoleh pendapatan sebanyak RM1,000 selain mempunyai tanggungan tiga anak berusia tiga, lima dan lapan tahun.
Majistret Nurdiyanah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin selepas mendengar hujuhan kedua-dua pihak dan menetapkan 21 Mac ini untuk tarikh sebutan semula kes serta lantikan peguam.
Terdahulu, Afreena tampil membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang terhadap seorang individu dikenali sebagai Ika atas dakwaan menipu wang miliknya sebanyak RM95,180 pada akhir Januari lalu.
Afreena, 33, mendakwa wang tersebut diserahkan untuk membantu membebaskan suaminya daripada tahanan dan mengurangkan hukuman mahkamah berhubung kes dadah.
Pihak polis kemudian menahan pasangan suami isteri berusia 20-an di kediaman mereka di Salak Tinggi, Sepang, pada 29 Januari lalu susulan menerima laporan berkenaan.
Baca juga: ‘Jumpa duit syiling di kedai, staf sakit kepala’ – Amir cuba untuk husnuzon, tapi makin pelik