“Ya Allah jangan tarik nyawa aku” – Zamarul Hisham kongsi detik cemas lepas sesak nafas masa ‘shooting’

Oleh MALAYSIADATELINE

Meskipun sudah pasti setiap manusia akan meninggal dunia, pastinya ada masa kita sedar bahawa diri ini masih ada banyak urusan di dunia.

Tak terbayang wajah isteri dan anak-anak seandainya diri pergi dahulu, begitulah perasaan pelakon Zamarul Hisham yang terbayang akan kematian.

Lapan hari berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat sesak nafas, Zamarul menganggap ia sebagai satu pengalaman menakutkan lapor Kosmo! Online.

“Waktu saya diusung ke hospital saya cakap, ‘Ya Allah janganlah tarik nyawa aku sekarang sebab banyak yang aku tak sedia lagi’.

“Saya dah mula terbayangkan anak di hotel, takkanlah nak tinggalkan mereka di sini sampaikan saya menangis. Tapi saya kena kuat.

“Saya berdoa, ‘Ya Allah jika kau berikan sakit ini sebagai tanda untuk aku jadi lebih baik, aku reda tapi berilah aku peluang untuk tengok anak-anak aku membesar,” katanya ketika diwawancara di program Melodi.

Dalam pada itu Zamarul menganggap sakit yang datang secara tiba-tiba itu adalah teguran Allah serta mungkin jawapan daripada doanya semasa mengerjakan umrah.

“Ramai yang tanya apa yang saya rasa? Saya rasakan ini adalah teguran. Tahun ini saya jalani umrah dan apabila balik saya rasakan banyak perubahan dalam hidup.

“Kemudian saya pergi umrah kali kedua dan balik saja, saya rasa macam tak cukup.

“Setiap kali solat, saya minta Allah berikan saya hidayah jadikan saya lebih baik sebab umur pun dah masuk 50.

“Alhamdulillah kemudian rezeki datang mencurah-curah dan dari situ mungkin saya diduga. Apa yang saya ada, Tuhan bagi tapi kau (Zamarul) tak rehat sebenarnya,” tambahnya.

Baca juga: Rakaman Syafiq Kyle mohon restu bapa sebelum akad nikah buat peminat sayu, yakin jadi suami baik