Satu kampung khayal, ketawa tak berhenti gara-gara ladang ganja terbakar

Oleh KIM SYAZIE

Penduduk di sebuah kampung di Pattaya, Thailand jadi khayal selepas menghidu asap kebakaran dari sebuah ladang ganja yang dilaporkan terbakar.

Menurut AFP, ketika bomba sudah pun berjaya memadam kebakaran tersebut, ada perkara pelik berlaku apabila penduduk tempatan dan pelancong didapati ‘ketawa tidak henti’ selepas menghidu asap kebakaran tersebut.

Selain itu, segelintir daripada mereka turut mengalami pening dan mata merah dipercayai akibat terdedah terlalu lama dengan asap kebakaran

Menurut akhbar Thai Matichon, kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas di tingkat dua bangunan komersial empat tingkat di mana ganja itu ditanam.

Perkhidmatan kecemasan, termasuk polis tempatan, pegawai bantuan bencana dan penyelamat sukarela telah dikerahkan untuk menyiasat di lokasi kejadian.

Anggota bomba yang bertindak pantas dengan trak air berjaya mengawal kebakaran dan mengelakkannya daripada merebak ke bangunan lain.

Keadaan didapati pulih beberapa jam selepas itu.

Pemilik ladang tersebut, Kanchana,40, menjelaskan bahawa perniagaannya telah mendapat permit secara sah untuk menanam pokok ganja.

Dia mengesyaki kebakaran bermula daripada litar pintas elektrik yang melibatkan panel lampu untuk loji penyiraman pokok sehingga mengakibatkan api merebak pantas.

Tambahnya, anggaran kerugian mencecah 200,000 baht (RM26,320).

Baca juga: Wanita simpanan runtuh rumah tangga 50 tahun, diperintah mahkamah bayar isteri RM200,000