Warga emas menyamar jadi tetamu kenduri untuk mencuri rupanya ada 7 rekod jenayah!

Oleh MALAYSIADATELINE

Siapa sangka, wanita warga emas yang sebelum ini tular kerana menyamar menjadi tetamu kenduri dan mencuri wang tunai di sebuah kediaman di Pasir Mas, Kelantan rupanya memiliki sembilan rekod jenayah lampau.

Wanita itu bersama rakan lelakinya yang juga merupakan warga emas kini ditahan reman selama empat hari kerana dipercayai terbabit dalam kes curi beg tangan berisi wang tunai berjumlah RM2,500 dalam satu majlis perkahwinan.

Kejadian berlaku di Kampung Tasek Berangan, Pasir Mas pada 1 Februari lalu dan suspek wanita berusia 61 tahun bersama rakan lelakinya yang berumur 62 tahun terbabit ditahan reman sehingga Khamis bermula hari ini.

Perintah tahanan reman ke atas kedua-dua warga emas itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Terdahulu, dua warga emas berkenaan dilaporkan ditahan di Jalan Sri Cemerlang sekitar pukul 5.04 petang semalam selepas sepasukan polis menahan sebuah teksi yang berada dalam keadaan mencurigakan, lapor Berita Harian.

Pemeriksaan lanjut oleh pihak polis kemudian mendapati suspek wanita memiliki sembilan rekod jenayah lampau termasuk di Terengganu manakala rakan lelakinya yang juga pemandu teksi mempunyai satu rekod jenayah.

Terdahulu, tular satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di media sosial memaparkan seorang wanita warga emas mengambil satu beg tangan berisi wang tunai RM2,500 di sebuah majlis perkahwinan di Kampung Tasek Berangan.

Wanita berkenaan dikatakan menyamar sebagai tetamu untuk menumpang tandas sebelum bertindak melarikan beg tangan mengandungi wang tunai milik keluarga tuan rumah iaitu lokasi kenduri diadakan.

Berdasarkan rakaman kejadian yang berlaku pada pukul 12.42 tengah hari, 1 Februari lalu itu, seorang wanita warga emas yang bertudung dan memakai baju kurung dilihat keluar dari tandas.

Wanita itu kemudian berjalan ke ruang tamu yang turut terdapat dua kanak-kanak bermain di ruang berkenaan sebelum mengambil beg dipercayai milik saudara mara tuan rumah yang mengandungi wang tunai RM2,500.

Baca juga: Wanita menyamar jadi tetamu kenduri, kebas beg tangan berisi wang lepas tumpang tandas