Polis sebentar tadi mengesahkan suspek yang terlibat dengan kejadian tembak menembak di pasaraya terkenal Setia City Mall baru-baru ini di Shah Alam maut ditembak di Pulau Ketam, dekat Klang Selatan, awal pagi tadi.
Memetik laporan BHarian Online lelaki warga tempatan itu ditembak dalam satu operasi membabitkan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSK dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sekitar jam 3 pagi tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan suspek dikehendaki maut dalam satu kejadian tembak-menembak bersama polis ketika serbuan di Pulau ketam itu.
“Sewaktu serbuan tersebut, berlaku tembak-menembak antara pasukan polis dan penjenayah di sebuah bilik hotel.
“Pasukan polis berjaya menembak mati seorang lelaki dan menemui dua senjata api berisi peluru bersama suspek tersebut.
“Semakan mendapati saspek yang dikehendaki ini mempunyai sembilan rekod jenayah termasuk satu kes jenayah dadah dan tujuh kes jenayah samun, selain dipercayai terbabit dalam insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah Setia City Mall baru-baru ini,” katanya melalui kenyataan.