“Setiap orang berhak bersuara” – Che Ta fokus perniagaan, tolak tepi kontroversi hutang

Oleh MAISARAH AISYA

Meskipun ada hak kebebasan bersuara, ini bukanlah tiket untuk meninggalkan komen menyakitkan hati sehingga meninggalkan kesan kepada orang lain.

Sedar diri menerima pelbagai reaksi berhubung kontroversi hutang Majlis Amanah Rakyat (Mara), pelakon Rozita Che Wan tidak pernah mengambil hati akan komen ditinggalkan.

Jelas Rozita yang lebih mesra dipanggil Che Ta, dia sedar tidak mudah untuk menutup mulut orang lapor Harian Metro.

“Saya rasa kalau mereka tak tahu kebenarannya memang mereka akan terus bercakap. Sama lah macam kita semua pun apabila mengetahui sesuatu isu yang belum sahih.

“Saya okey saja orang nak cakap apapun. Malah netizen-netizen inilah yang sekarang datang memberi semangat. Saya yakin selagi orang tak tahu kebenarannya, mereka akan terus bercakap.

“Cuma tiada satu pun hantaran di media sosial saya tutup ruangan komen, sebaliknya saya teruskan kehidupan seperti biasa dan lakukan aktiviti seharian saya dengan bisnes dan keluarga,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Pada masa sama dia tidak pernah menutup ruangan komen untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan dan juga untuk menepis dakwaan tidak benar.

“Kita ini hidup dalam demokrasi. Setiap orang berhak bersuara. Walaupun mereka nak bercakap fasal saya sedangkan tak tahu sisi saya yang lain, terpulang kepada mereka.

“Bagi saya, itu hak mereka untuk bercakap apa saja fasal saya. Kalau kita tutup komen, orang nampak kita bersalah sedangkan saya tidak buat salah dengan sesiapa.

“Cuma mungkin bila mereka tengok ada kebenaran, baru mereka akan sedar dan ingat apa yang pernah dikatakan sebelum ini.

“Saya sendiri pun tak nak menegakkan benang yang basah,” tambahnya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Che Ta sudah berjaya menyelesaikan segala hutang dengan agensi berkenaan.

Baca juga: Chef terkenal Korea tak sangka nasi Kandar di Malaysia sangat sedap