Miliki kenderaan mewah di usia 19 tahun, Zaki Yamani anggap ia satu pelaburan

Oleh MALAYSIADATELINE

Belum memasuki usia 20-an, kebanyakan anak muda dilihat sudah membeli kereta mewah mencecah ratusan ribu ringgit.

Ramai masih tak sedar memiliki kereta mewah datang dengan pelbagai tanggungjawab dan pastinya bukan murah terutamanya bila perlu servis atau bayar cukai jalan kenderaan.

Namun itu tidak mematahkan semangat penyanyi berusia 19 tahun Zaki Yamani untuk Memiliki kereta jenis Mercedes-Benz AMG A Class.

Pernah mengeluarkan kenyataan memiliki kenderaan mewah melambangkan imej pencapaian di usia muda, Zaki mengakui tersalah cakap lapor Kosmo! Online.

“Saya minta maaf sangat sebelum ini saya salah cakap bahawa ada kereta mewah kena jaga imej.

“Tujuan saya mahu generasi muda ada motivasi beli kereta yang mereka mahu walaupun pada usia muda.

“Memang saya mahu mereka jadikan inspirasi tetapi tersalah cakap sebelum ini sehingga kena kecam,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Sudah berada dalam industri seni selama beberapa tahun, Zaki mengakui tidak akan membina rumah meskipun sudah ada tanah sebaliknya mahu fokus akan kerjaya.

“Bagi saya kereta itu adalah pelaburan, sebagai penyanyi muda perlu melabur. Kalau rumah pula memang saya ada terfikir cuma minat sekarang lebih kepada kereta.

“Tanah sudah ada cuma sekarang nak fokus berkarier dahulu. Kalau ada rezeki baru saya akan fikir untuk bina rumah,” tambahnya.

Baca juga: Majikan ini ‘swipe’ kad cecah RM150,000, belikan kereta baharu buat pembantu peribadi