Biasalah setiap tempat atau kawasan tidak berpenghuni pasti akan ada makhluk Allah SWT yang tak dapat dilihat dengan mata kasar.
Maka tak terkejut jika ada yang diganggu, kalau tak kuat mungkin lepas sehari pindah terus keluar dan cari tempat lain.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tampil berkongsi kisah seram dalam audio siar ‘Sembang Seram’ bersama pelakon Safwan Nazri.
Jelasnya kisah tersebut terjadi semasa dia tinggal di rumah Exco pada tahun 2014.
“Di situ ada 10 rangkaian rumah, setiap rumah tu ada cerita seram tersendiri. Dekat kawasan tu pun rumahnya banyak tak diduduki juga.
“Saya duduk situ pada tahun 2014, antara first batch selepas lima ke enam tahun tak didiami, rumah saya nombor 10 tapi rumah nombor lapan paling banyak misteri.
“Rumah nombor 10 tu gangguan lebih kepada kerosakkan dan bukan penampakan yang menakutkan, misalnya, penyaman udara rosak, bumbung rosak.
“Sepanjang lima tahun duduk situ memang banyak benda rosak, dah baiki pun tetap rosak, mungkin jin tu kontraktor kelas F,” kongsinya.
Rumah nombor 8 banyak gangguan
“Rumah nombor lapan tu paling menakutkan sebab dulu pada tahun 2012 atau 2010, ada satu kursus tapi rumah tu tak digunakan, dijadikan tempat untuk berkursus.
“Ada seorang tu patah tulang rusuk sebab dari tingkat atas dia terjun katanya ada orang panggil dia.
“Ada dua peristiwa melibatkan rumah saya dan rumah nombor lapan ni. Yang pertama ada seorang penjaga keselamatan ni cerita dekat saya, ada orang buat pesanan piza ke rumah berkenaan.
“Bila pengawal keselamatan tu maklum ruman nombor lapan tak berpenghuni, penghantar makanan tu berkeras katanya ada panggilan daripada seorang wanita, bila dia pergi memang rumah tu kosong.
Kisah kedua
“Kejadian kedua tu pun melibatkan pengawal keselamatan sama, jadi satu hari tu dia buat kenduri, masa masak tu gas pula habis jadi di setiap rumah Exco ni memang ada sediakan gas.
“Jadi dia kata dia nak pinjam gas rumah nombor lapan tu dan akan ganti semula esoknya. Bila tiba hari esok, dah ada orang nak hantar gas sedangkan dia tak beli lagi.
“Sekali penghantar gas tu cakap ada orang buat panggilan mengadu gas dia kena curi semalam, memang kawasan perumahan Exco tu dekat dengan kawasan hutan sedikit.
“Rumah nombor lapan tu sampai sekarang kekal misteri,” kongsinya dalam audio siar tersebut.
Baca juga: Sekolah rendah anak tak terima wang tunai bayar makanan, ibu harap pihak kantin jujur